Bukan sindiket, hanya kad ahli komuniti Chin, kata aktivis

Bukan sindiket, hanya kad ahli komuniti Chin, kata aktivis

James Bawi berkata, komuniti Chin terbahagi oleh pelbagai dialek dan budaya, dan lazimnya akan membentuk kumpulan berasingan untuk menjaga kebajikan masing-masing.

Sebahagian daripada 544 individu yang ditahan oleh Jabatan Imigresen dalam operasi di sepanjang Jalan Imbi, Kuala Lumpur, pada Sabtu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen mungkin terkeliru menganggap kad keahlian komuniti Chin, yang didakwa hasil kerja sindiket, sebagai kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) apabila pegawainya menahan sekumpulan pelarian di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Aktivis hak pelarian James Bawi berkata, komuniti Chin dari Myanmar terbahagi oleh dialek dan budaya, dan akan membentuk banyak kumpulan berasingan untuk menjaga kebajikan masing-masing.  Mereka tidak berfungsi sebagai sindiket menawarkan kad pelarian bagi sejumlah wang seperti didakwa, tambahnya.

Katanya, kumpulan-kumpulan tersebut akan menyimpan nama dan perincian ahlinya dalam pangkalan data untuk digunakan bagi membantu mendapatkan status pelarian daripada UNHCR.

Bawi berkata, ahli kumpulan membayar yuran tahunan RM50 dan diberikan kad keahlian.
“UNHCR mengiktiraf sokongan komuniti ini kepada ahlinya dalam cara ini,” katanya kepada FMT.

Bawi berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Jabatan Imigresen bahawa satu sindiket mendalangi pengeluaran “kad pelarian”, selain memungut RM500 daripada setiap pelarian etnik Chin sebagai bayaran keahlian.

Jabatan itu menganggap kumpulan-kumpulan tersebut sebagai “pertubuhan tidak berdaftar” beroperasi di sebuah pangsapuri sejak 2009, yang telah mendaftarkan kira-kira 1,000 orang daripada komuniti Chin.

Menurut laporan Bernama, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, kad itu “mengiktiraf” bahawa pemegangnya ialah pelarian etnik Chin yang sedang menunggu kebenaran untuk ditempatkan di negara ketiga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.