
Menterinya, Tiong King Sing menegaskan soal keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan, namun ia juga perlu diseimbangkan dengan faktor ekonomi demi kepentingan rakyat dan negara.
“Setakat ini, kita masih kekal dengan status quo dan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa. Jika ada perubahan situasi dan keperluan mendesak, sudah tentu kita akan memperketatkan SOP secara khusus,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama.
Bersandarkan fakta, katanya, Amerika Syarikat mencatatkan 99 juta jangkitan dan 1.08 juta kematian akibat Covid-19, manakala China dengan 31,000 kematian dan 10.16 juta kes positif direkodkan.
“Jika mengambil kira penduduk China seramai 1.4 bilion, kadar kematian akibat wabak itu ialah 0.002%. Kes jangkitan Covid-19 di Malaysia pula 5.02 juta dengan 0.7% kematian direkodkan.”
Beliau berkata, Malaysia menerima kemasukan pengembara dari seluruh dunia lebih awal sebelum ini, walaupun mereka datang dari negara yang memiliki rekod jangkitan Covid-19 tinggi.
“Kita bersyukur kerana situasi penularan Covid-19 di Malaysia boleh dianggap terkawal. Malah, China juga melepasi fasa lonjakan jangkitan Covid-19, maka mengetatkan SOP sedia ada bukanlah langkah tepat serta berkesan ketika ini.”
Katanya, angka RM30 bilion yang dinyatakan sebelum ini bagi menunjukkan betapa besarnya nilai ekonomi bagi sektor pelancongan secara khusus membabitkan negara China.
“Ini juga seiring ramalan peningkatan pengembara China ke Malaysia daripada tiga juta pada 2019 kepada kira-kira enam juta tahun ini.”
Tiong berkata, soal diskriminasi perlu dipandang serius dan beliau turut membandingkan negara selain China, yang juga berupaya menjadi negara berisiko tinggi penularan wabak di negara ini.
Katanya, apa yang dibangkitkan sebelum ini bertujuan memastikan negara tidak mendiskriminasi pengembara dari mana-mana negara, termasuk China.
“Ini penting demi memelihara hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara luar, lebih-lebih lagi rakan perdagangan Malaysia.”