
Mereka menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mencontohi Mara yang menaikkan elaun bagi 4,149 pelajarnya di luar negara September lepas.
Seorang bapa berkata, anak perempuannya memberitahu bahawa ada pelajar kadang-kadang terpaksa makan di pusat yang menyediakan makanan percuma untuk golongan yang memerlukan. Ada juga yang terpaksa memohon pembiayaan daripada universiti masing-masing untuk meringankan beban, bantuan yang diberikan atas budi bicara pihak pengurusan universiti.
Bapa yang enggan namanya didedahkan itu berkata, pelajar di Britain berdepan kesukaran sejak setahun lepas apabila inflasi melonjak, menyebabkan kenaikan harga dalam semua sektor.
“Sukar bagi mereka untuk menampung kehidupan,” katanya.
Elaun sara hidup bagi pemegang biasiswa JPA di London ialah sebanyak £1,045 (RM5,712), jauh lebih rendah daripada median disyorkan kerajaan UK, iaitu sebanyak £1,312 (RM7,172) pada 2021.
“Harga secara amnya meningkat dua kali ganda berbanding 11 tahun lepas tetapi elaun tidak berubah. Sekumpulan daripada mereka telah mengemukakan rayuan kepada JPA untuk semakan segera tahun lepas dengan statistik mengenai kos sara hidup yang tinggi,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi bapa berkata, pelajar difahamkan bahawa rayuan itu disampaikan kepada Kementerian Kewangan tahun lepas tetapi tiada maklum balas setakat ini.
“Mereka sedar kerajaan sedang mengurangkan kos dalam banyak bidang tetapi sebagai pelajar tajaan kerajaan, mereka perlu menunjukkan prestasi yang baik dan masalah kewangan ini mengganggu tumpuan mereka.
“Kerajaan harus sekurang-kurangnya memberikan elaun kesusahan sementara untuk membantu mereka,” katanya.
“Paling penting, pelajar-pelajar ini dipilih untuk mengikuti kursus di sana dan kembali berkhidmat dengan kerajaan. Mereka mempunyai jaminan tujuh tahun (untuk bekerja dengan kerajaan),” katanya.
September lepas, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob menaikkan elaun pelajar Mara di luar negara kepada maksimum RM7,600 sebulan. Jumlahnya berbeza-beza bagi pelajar di peringkat pengajian yang berbeza, daripada diploma hingga kedoktoran.
Beliau mewajarkan kenaikan itu dengan memetik purata perbelanjaan bulanan untuk sewa dan bil utiliti di bandar-bandar utama antara £500 (RM2,733) dan £730 (RM3,990). Ini memakan antara 60% dan 70% daripada elaun yang diterima oleh setiap pelajar.
FMT telah meminta komen daripada JPA dan Kementerian Kewangan.