Ingkar arahan parti, ADUN Umno Sabah sedia dikenakan tindakan

Ingkar arahan parti, ADUN Umno Sabah sedia dikenakan tindakan

Shahelmey Yahya bersama empat lagi ADUN Umno tidak menyertai Bung Moktar Radin menarik sokongan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Noor.

Lima ADUN Umno Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), James Ratib (Sugut), Yusuf Yacob (Sindumin), Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Mohd Arsad Bistari (Tampasuk) berikrar menyokong kerajaan GRS. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang ADUN Umno berkata, beliau bersedia dikenakan tindakan kerana ingkar arahan parti sebaliknya terus menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Noor.

Shahelmey Yahya yang juga ADUN Tanjung Keramat antara lima ADUN Umno yang dilaporkan tidak bersetuju dengan tindakan ketuanya, Bung Moktar Radin yang menarik sokongan terhadap kerajaan GRS.

“Saya sudah bersedia menghadapinya selain menyifatkannya sebagai hak parti untuk mengambil tindakan,” katanya menurut Berita Harian.

Selain Shahelmey, empat lagi ADUN Umno yang tidak menyokong tindakan Bung ialah ADUN Sugut James Ratib, Yusuf Yacob (Sindumin), Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Mohd Arsad Bistari (Tampasuk).

Dalam pada itu, Shahelmey berkata, langkah untuk tidak menyokong tindakan Bung membawa keluar parti daripada kerjasama membentuk kerajaan negeri kerana bukan masa sesuai untuk tidak menstabilkan atau menukar kerajaan sedia ada.

Ahli Parlimen Putatan itu turut mengakui beliau tidak menghadiri mesyuarat parti negeri sebelum sidang media di Bangunan Umno Sabah malam tadi.

“Ini bukan masanya yang sesuai untuk tidak menstabilkan atau menukar kerajaan,” katanya menurut Berita Harian.

“Prestasi kerajaan BN-GRS adalah agak baik dalam dua tahun kebelakangan ini kerana dua tahun berturut-turut kerajaan negeri mempunyai peningkatan pendapatan daripada bawah RM5 bilion sehinggalah RM6.6 bilion pada tahun lalu,” tambahnya.

Katanya, kerajaan BN-GRS juga berjaya menarik pelabur dengan jumlah pelaburan melebihi RM33 bilion.

“Jadi kenapa kita hendak melakukan pertukaran kerajaan tanpa sebab yang konkrit, yang mengakibatkan satu persepsi bahawa politik negeri tidak stabil.

“Ini akan menghindar pelabur atau mengurangkan keyakinan pelabur untuk datang melabur di negeri ini,” katanya.

Atas sebab itu, katanya beliau tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan Bung Moktar.

“Saya sudah membuat siasatan bahawa rakyat juga tidak inginkan perubahan kerajaan dalam masa sekarang. Ini bukan masa untuk bermain politik.

“Sekarang masa untuk bekerja, membangunkan ekonomi dan memajukan negeri ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.