Hebahan SMS ‘GOV’ hanya libatkan kepentingan umum, kata Fahmi

Hebahan SMS ‘GOV’ hanya libatkan kepentingan umum, kata Fahmi

Fahmi Fadzil berkata, semakan sedang dibuat mengenai aduan mesej ‘GOV’ mempertahankan kerajaan serta pihaknya akan mengkaji semula proses penyebaran mesej sebelum itu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mahu menetapkan semula hebahan mesej yang menumpukan kepada perkara mustahak seperti bencana alam.
PETALING JAYA:
Hanya pemakluman mengenai soal kepentingan umum akan diteruskan dalam hebahan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui agensi kerajaan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

“Agensi-agensi guna cara ini untuk memberi maklumat kepada masyarakat awam, contohnya ketika musim banjir ataupun musim hujan yang lebat.

“Jadi pemakluman yang ada berkaitan kepentingan umum, kita perlu teruskan. Kita boleh teruskan, tapi mungkin tentang beberapa perkara lain kita perlu kaji semula,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Usahawan Pepper Labs.

Berhubung aduan orang ramai mengenai mesej ‘GOV’ mempertahankan kerajaan, Fahmi berkata: “Kita sedang buat semakan untuk mendapatkan maklumat dan akan mengkaji semula proses penyebaran mesej yang dilakukan sebelum ini”.

“Saya rasa kita perlu menetapkan semula hebahan mesej itu supaya menumpukan kepada perkara yang mustahak seperti bencana alam dan sebagainya.

Baru-baru ini, beberapa mesej mempertahankan kerajaan gabungan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah mencetuskan kecaman terhadap Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD)bagi menyebarkan naratif politik kepada orang ramai.

Antara mesej ‘promosi’ kerajaan yang diterima pengguna seperti kandungan menyifatkan “Kerajaan Perpaduan sebagai langkah penyelesaian berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang”.

Dalam pada itu, tular juga satu mesej yang menyifatkan kerajaan pimpinan kini adalah diwakili oleh “Ahli Parlimen pelbagai bangsa dan agama, serta terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dan pengalaman”.

Sebelum itu, beberapa Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) pernah mengkritik SMS yang dihantar kepada umum melalui agensi kerajaan bertujuan menyebarkan propaganda, ketika pimpinan kerajaan terdahulu.

Hebahan SMS melalui ID penghantar ‘GOV’ dikhususkan bagi membuat pesanan khidmat awam (PKA) berkenaan inisiatif oleh kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.