KSM akan lancar inisiatif baharu bawa pulang bakat Malaysia

KSM akan lancar inisiatif baharu bawa pulang bakat Malaysia

Menterinya V Sivakumar berkata inisiatif baharu itu dikendalikan di bawah Program Kepulangan Pakar (REP), Talent Corporation Malaysia (TalentCorp).

Program Malaysia@Heart bertujuan membawa pulang rakyat Malaysia untuk mengukuhkan tenaga buruh. (Gambar Freepik)
PUTRAJAYA:
Kementerian Sumber Manusia akan melancarkan program baharu pada suku pertama tahun ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara pulang dan mengukuhkan tenaga buruh.

Menterinya, V Sivakumar, berkata inisiatif baharu dikenali sebagai Malaysia@Heart (MyHeart), itu akan dikendalikan di bawah Program Kepulangan Pakar (REP) oleh Talent Corporation Malaysia (TalentCorp).

“Inisiatif MyHeart adalah platform untuk berhubung dengan penghijrah dari Malaysia dan bekerjasama dengan mereka,” katanya di kementerian itu di sini hari ini.

Beliau tidak memberikan butiran tambahan, dan FMT telah menghubungi unit komunikasi kementerian untuk mendapatkan maklumat lanjut.

TalentCorp, atau Talent Corporation Malaysia Bhd, adalah agensi kebangsaan di bawah kementerian yang ditugaskan untuk menarik profesional Malaysia kembali.

Tahun lepas, TalentCorp hanya menarik 5,774 rakyat Malaysia pulang melalui REP, atau 0.33% daripada jumlah mereka yang berhijrah.

Sivakumar berkata, kementerian bercadang untuk memperkenalkan Indeks Latihan Kebangsaan (NTI) dalam usaha meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula tenaga buruh.

“NTI akan menetapkan piawaian untuk industri serta memastikan bakat tempatan menerima latihan berdasarkan keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan terus memberi tumpuan kepada isu buruh paksa, yang menyaksikan beberapa barangan keluaran tempatan diharamkan di luar negara.

“Kita mesti bekerjasama secara strategik dengan negara seperti Amerika dan United Kingdom untuk memperkasakan inisiatif dan menguatkuasakan undang-undang untuk menyelesaikan isu buruh paksa di negara itu,” katanya.

Sivakumar juga berkata, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) akan menilai semula kursus yang ditawarkan untuk pelajar latihan pendidikan teknik dan vokasional (TVET) bagi memastikan tiada ketidakpadanan kemahiran.

“Kursus yang ditawarkan juga mestilah merangkumi elemen pendigitalan dan automasi selaras dengan keperluan Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.