Anggota bomba cedera, EMRS dirempuh ketika bantu mangsa kemalangan

Anggota bomba cedera, EMRS dirempuh ketika bantu mangsa kemalangan

Kejadian berlaku di Kilometer 244.1 Lebuhraya Pantai Timur awal pagi tadi menyebabkan empat mangsa termasuk anggota bomba terbabit mengalami kecederaan.

Keadaan lokasi kemalangan selepas EMRS dinaiki anggota bomba dirempuh kenderaan lain di Lebuhraya Pantai Timur, Hala Barat, Kuantan awal pagi tadi. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Seorang anggota bomba cedera selepas jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dinaikinya dirempuh kenderaan lain ketika membantu mangsa kemalangan di Kilometer 244.1 Lebuhraya Pantai Timur, Hala Barat, Kuantan, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata kejadian menyebabkan empat mangsa termasuk anggota bomba terbabit cedera, manakala seorang lagi mangsa cedera parah.

Menurutnya, sebelum itu maklumat diterima daripada Pusat Koordinasi Kecemasan Perubatan (MECC) meminta bantuan EMRS bomba dihantar bagi memberikan rawatan awal dan menghantar mangsa kemalangan ke hospital.

“Kemalangan awal dilaporkan membabitkan sebuah kenderaan empat roda jenis Hilux dengan sebuah kereta Proton Saga dan hanya seorang mangsa yang cedera ringan dalam kejadian itu.

“Bagaimanapun, ketika pasukan EMRS bomba sedang membantu mangsa kemalangan terbabit, sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah lori satu tan nyaris melanggar kereta Proton Saga yang berada di tengah lebuh raya, namun sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, kemudian datang sebuah lagi kereta jenis Kia Sorento melanggar kereta Proton Saga lalu menyebabkannya berpusing dan merempuh lori serta jentera EMRS di tepi lebuh raya.

“Rempuhan itu menyebabkan anggota bomba dan mangsa yang menerima rawatan awal tercampak ke hadapan ketika berada dalam EMRS,” katanya lagi.

Katanya, pasukan bomba telah memberikan rawatan awal kepada semua mangsa yang cedera sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.