Tiada apa tak kena dengan pengurusan dana PN, kata Tengku Zafrul

Tiada apa tak kena dengan pengurusan dana PN, kata Tengku Zafrul

Bekas menteri kewangan itu berkata, dana diuruskan dengan telus oleh kerajaan PN terdahulu.

Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, beliau belum dipanggil oleh mana-mana agensi termasuk SPRM berhubung siasatan dakwaan penyelewengan dana tersebut.
PETALING JAYA:
Dana melibatkan beberapa pakej rangsangan ekonomi sejak 2020 dilaksana secara telus, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Zafrul, yang juga bekas menteri kewangan berkata, beliau sedia bekerjasama jika dipanggil berhubung dakwaan penyelewengan dana tersebut.

“Tidak ada apa-apa yang tidak kena (melibatkan pengurusan dana). Tapi saya sedia untuk bekerjasama sekiranya dipanggil oleh agensi berkaitan. Kami sangat telus.

“Seperti saya katakan, kita ada laporan mingguan (Laporan Laksana). Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Laporan itu diserahkan kepada media, malah orang awam juga boleh mendapatkannya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama CNBC pada Khamis, lapor Astro Awani.

Zafrul pada masa sama turut mengesahkan beliau belum dipanggil oleh mana-mana agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan dakwaan penyelewengan dana tersebut.

Bulan lepas, SPRM memaklumkan fokus siasatan pihaknya berhubung dakwaan salah guna dana oleh kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini akan tertumpu kepada RM92.5 bilion yang dibelanjakan untuk pengurusan Covid-19

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Kementerian Kewangan telah mengakui beberapa pelanggaran serius prosedur melibatkan dana itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.