KDN terajui pengurusan pekerja asing

KDN terajui pengurusan pekerja asing

Putrajaya bersetuju melonggarkan syarat dan prosedur permohonan kuota pekerja asing ke tahap ‘optimum’ bagi mengimbangkan antara keperluan pembangunan ekonomi dan kepentingan keselamatan negara.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjajaran fungsi itu tidak akan menjejaskan tatacara dan carta alir permohonan penggajian pekerja asing sedia ada.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri akan menerajui pengurusan pekerja asing di Malaysia, kata menterinya Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, Saifuddin memberi jaminan kepada majikan, pemain industri dan persatuan pekerja asing bahawa mereka tidak perlu risau dengan perubahan dasar yang dijangka akan bermula pada 15 Jan.

Katanya, peranan Kementerian Sumber Manusia dari aspek keakuran kepada dasar perburuhan, penentuan kelayakan kuota dan pemuktamadan kerjasama dengan negara sumber akan terus diperkukuhkan.

“Penjajaran fungsi ini tidak akan menjejaskan tatacara dan carta alir permohonan penggajian pekerja asing sedia ada memandangkan fokus kepada penjajaran adalah kepada tatakelola atau governance pengurusan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin juga berkata kedua-dua kementerian telah bersetuju untuk melonggarkan syarat dan prosedur permohonan kuota pekerja asing ke tahap “optimum” bagi mengimbangkan antara keperluan pembangunan ekonomi dan kepentingan keselamatan negara.

“Kelonggaran ini akan merangkumi usaha berterusan untuk memudah cara penilaian kelayakan untuk menggaji pekerja asing, penelitian terhadap syarat-syarat kelulusan kuota dan proses keimigresenan dan tapisan keselamatan,” katanya.

Saifuddin berkata, perincian terhadap perkara ini akan dimaklumkan kepada semua pemegang taruh dari semasa ke semasa kelak.

Sehingga 31 Dis 2022 terdapat 1,459,196 orang pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan sektor perkilangan mencatatkan jumlah pekerja asing paling tinggi iaitu (538,148), diikuti sektor pembinaan (315,932) dan perkhidmatan (221,621).

Jumlah itu turut merangkumi 316,446 orang pekerja asing baharu yang digajikan pada tahun 2022. Tiga warganegara tertinggi pekerja asing di Malaysia adalah Bangladesh, Indonesia dan Nepal.

Tahun lalu kerajaan telah meluluskan sebanyak 676,070 kuota pekerja asing daripada 1,606,724 permohonan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.