Tetap tutup premis judi, loteri sekali pun hasil lumayan, kata Sanusi

Tetap tutup premis judi, loteri sekali pun hasil lumayan, kata Sanusi

Menteri besar Kedah itu berkata, rekod tahun lalu menunjukkan pendapatan diperoleh melalui premis perjudian hanya sekitar RM400,000.

Operasi premis perjudian dan loteri di Kedah tamat sepenuhnya 1 Jan lalu, selepas kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen yang tamat 31 Dis lalu.
PETALING JAYA:
Penutupan premis perjudian dan loteri di Kedah yang berkuat kuasa 1 Jan lalu tidak menjejaskan pendapatan kerajaan negeri, kata Menteri Besar, Sanusi Md Noor.

Ini kerana, Sanusi berkata, rekod tahun lalu menunjukkan pendapatan diperoleh kerajaan negeri menerusi premis perjudian hanya sekitar RM400,000.

Katanya, jika pendapatan hasil perjudian tinggi sekalipun, kerajaan negeri tetap dengan keputusan menutup premis perjudian dan loteri.

“Pendapatan diperoleh melalui premis perjudian sedikit, iaitu RM400,000 tetapi kalau RM400 juta sekali pun, saya tetap akan menutup semua premis perjudian dan loteri berkenaan. Jumlah yang diperoleh sikit, tetapi kesan daripada perjudian itu lebih besar.

“Hendak baiki masyarakat, ahli keluarga yang berselerak, bapa jadi tahi judi balik ‘tabuh’ (pukul) mak, anak, jual harta dan curi duit untuk beli judi, kerosakan itu lagi teruk daripada RM400,000,” katanya menurut laporan Bernama.

Mengenai dakwaan masih ada premis perjudian beroperasi secara haram dan berselindung di sebalik perniagaan lain, Sanusi berkata, kerajaan negeri menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga bekerjasama rapat dengan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membanteras premis perjudian dan loteri itu, antaranya memotong bekalan elektrik di premis yang menjalankan kegiatan itu.

“Saya juga ingin maklumkan keputusan penutupan premis perjudian itu bukan dibuat secara drastik kerana ia dimaklumkan terlebih awal kepada pemilik premis dan sepatutnya mereka buat persiapan untuk mengalih arah perniagaan mereka.

“Jadi, saya harap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis, sekiranya mereka tahu kegiatan perjudian yang masih beroperasi,” katanya.

Awal bulan ini, semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah tamat sepenuhnya susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian yang tamat 31 Dis 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.