Kerajaan ambil alih projek OPV, suntik pinjaman RM152.6 juta

Kerajaan ambil alih projek OPV, suntik pinjaman RM152.6 juta

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sepatutnya menerima tiga kapal peronda luar pesisir pada 2020.

Anwar Ibrahim berkata, pembinaan kapal peronda luar pesisir pertama milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia boleh disiapkan tahun ini. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Kerajaan mengambil alih projek kapal peronda luar pesisir pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) daripada bekas anak syarikat Tabung Haji, THHE Destini Sdn Bhd, selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kewangan akan menyuntik pinjaman RM152.6 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini.

“Kita terpaksa berikan satu lagi bentuk suntikan pinjaman untuk projek ini siap dan RM152.6 juta pinjaman terpaksa disediakan.

“Dari tinjauan kita, projek ini boleh disiapkan, iaitu OPV pertama dalam tahun ini,” katanya dipetik Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya.

Pada 13 Sept 2022, Maritim Malaysia dalam kenyataan berkata, tiga OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan oleh THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Selangor.

Susulan itu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Maritim Malaysia bagi menjelaskan kelewatan perolehan OPV itu.

Anwar berkata, masalah berkaitan projek membabitkan pasukan keselamatan di KDN dan Kementerian Pertahanan akan cuba diselesaikan.

“Perkara perolehan sama ada KDN dan Kementerian Pertahanan yang sangat penting untuk keselamatan tidak diambil kesempatan hingga menyebabkan kerugian akibat pelaksanaan lemah.

“Tindakan pertama mesti selamatkan dan disiapkan mengikut jadual. Keduanya, tidak lepaskan sesiapa yang salah guna kuasa, kaut kekayaan, tanpa siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.