
Singapura, juara empat kali, yang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke separuh akhir, mempunyai kelebihan satu mata di kedudukan kedua Kumpulan B, manakala Malaysia di tempat ketiga dengan kutipan enam mata.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Malaya memintas Singapura untuk muncul naib juara kumpulan dengan mengumpul keseluruhan sembilan mata di belakang Vietnam.
Kejayaan di hadapan 65,147 penonton itu memperbaiki rekod buruk terkandas di peringkat kumpulan pada edisi lepas, malah turut mengakhiri badi kemenangan berdepan The Lions sejak November 2014.
Aksi Malaysia pada separuh pertama agak perlahan, tetapi penyerang Darren Lok berjaya meletakkan pasukan negara di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-35.
Pada babak kedua perlawanan, skuad negara mempamerkan aksi bertenaga dengan menambah dua lagi gol menerusi jaringan pemain tengah kacukan Malaysia-England, Stuart Wilkin pada minit ke-50 dan 54.
Singapura yang ketinggalan cuba bangkit dengan mengubah rentak permainan dan melancarkan beberapa serangan balas sebelum berjaya memperoleh gol tunggal pada minit ke-85.
Beberapa serangan bahaya Singapura selepas itu berjaya dipatahkan barisan pertahanan negara sebelum pemain naturalisasi, Sergio Aguero menjaringkan gol keempat pada minit ke-88, sekali gus mematahkan semangat skuad bimbingan Takayuki Nishigaya itu.
Harimau Malaya akan menerima kunjungan Thailand selaku juara Kumpulan A dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini. Vietnam pula akan membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan A Indonesia.
Vietnam mengumpul 10 mata selepas menewaskan Myanmar 3-0 dalam satu lagi aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, diikuti Malaysia di tangga kedua (sembilan mata), Singapura ketiga (tujuh mata), manakala Myanmar dan Laos tercorot dengan berkongsi satu mata.