
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, beliau yakin “kelesuan” dan ketidakpercayaan terhadap vaksin Covid-19 menyumbang kepada keengganan orang ramai mendapatkan suntikan itu.
Beliau berkata, kerajaan perlu mencari jalan memujuk orang ramai mengambil dos penggalak memandangkan kerajaan tidak boleh memaksa mereka untuk berbuat demikian.
“Kita ada bekalan vaksin, infrastruktur dan pengalaman daripada program vaksinasi sebelum ini,” katanya kepada FMT.
“Masalah timbul apabila mahu menyakinkan orang ramai mendapatkan vaksin lagi.”
“Cukup penting untuk semua orang diingatkan bahawa dengan penyakit ini dan kebergantungan kepada vaksin ketika ini, perlu untuk dapatkan dos penggalak. Lebih-lebih lagi sekiranya pengambilan dos premier membabitkan vaksin virus tidak aktif seperti Sinovac.
“Orang ramai perlu tahu bahawa dengan tidak mengambil vaksin atau dos penggalak, ia serupa memperjudikan nyawa sendiri dan insan tersayang.”
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, mereka yang mengalami gangguan imun dan mempunyai komplikasi risiko tinggi Covid-19 patut diminta mendapatkan dos penggalak kedua secepat mungkin.
Katanya, dos penggalak kedua mungkin tidak diperlukan bagi mereka yang sihat.
“Namun, perlu ada kaveat bagi mereka yang mengalami gangguan imun, pesakit yang menggunakan steroid, atau yang menghidap kanser atau gangguan darah,” katanya.
“Imuniti mereka lebih lemah dan mereka perlu mengambil dos penggalak kedua.”
Ahad lepas, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menggesa orang ramai mendapatkan dos penggalak Covid-19 kedua susulan peningkatan kes di China.
Beliau memaklumkan 49.8% rakyat Malaysia menerima dos penggalak pertama, namun hanya 1.9% menerima dos kedua.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua varian Covid-19 yang menyumbang hampir 80% mutasi didapati di China telah dikesan di Malaysia.
Sehingga 31 Dis, 4,148 orang dijangkiti BA.5.2 dan tiga dijangkiti BF.7 di negara ini.