Bekas ADUN Sedili lepas, bebas tuduhan cabul wanita

Bekas ADUN Sedili lepas, bebas tuduhan cabul wanita

Majistret Analia Kamaruddin menyatakan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Rasman Ithnain.

Bekas ADUN Sedili, Rasman Ithnain (tengah) akan kembali semula ke dunia politik susulan dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, Januari tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Muar hari ini melepas dan membebaskan bekas ADUN Sedili, Rasman Ithnain, bagi pertuduhan kes seksual dihadapinya, pada 12 Jun tahun lalu.

Majistret, Analia Kamaruddin, dalam penghakiman ringkasnya, menyatakan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Rasman.

“Setelah menilai kebolehpercayaan saksi-saksi pihak pendakwaan secara maksimum sepanjang perbicaraan, oleh yang demikian, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan dan wang jaminan dikembalikan semula,” lapor Berita Harian.

Sementara itu, Rasman menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga terhadap keputusan ini apabila dapat menegakkan kebenaran bagi diri beliau.

“Saya bersyukur kerana keputusan ini dapat membersihkan nama baik diri saya dan keluarga.

“Saya bersyukur kerana masalah ini selesai kerana jika tidak nama saya tercalar dalam keadaan berpolitik sudah tiga penggal dan akhirnya saya tidak dapat bertanding.

“Apabila dituduh saya reda dan (dengan keputusan mahkamah) saya rasa nama baik saya dan keluarga sudah dikembalikan semula.

“Respon keluarga saya selepas diberitahu berita kemenangan ini masing-masing menelefon dan memberikan sokongan termasuk dalam kalangan besan dan menantu,” katanya.

Beliau berkata, tidak menyimpan dendam terhadap pemfitnahnya dan sebagainya kerana tiada siapa yang tahu pihak yang menjadi dalangnya.

“Selepas ini saya akan teruskan semula kehidupan tanpa rasa tekanan dan akan kembali semula ke dunia politik,” katanya.

Rasman merupakan ADUN Sedili yang pernah berkhidmat selama tiga penggal sejak 2008 sehingga 2022.

Beliau tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor 2022 dan PRU15.

Untuk rekod, sepanjang perbicaraan berlangsung, pihak pendakwaan mengemukakan empat orang saksi.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Bin Tengku Abdul Rahman bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos.

Manakala, Rasman diwakili peguam bela, Muhammad Mohd Nasir, Muhammad Izzad Syafiq Ismail dan Mohamad Alias Rasman.

Terdahulu, Rasman mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, Januari tahun lalu.

Tertuduh berusia 54 tahun yang juga ketua Bersatu Kota Tinggi, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, Rasman didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun, dengan maksud untuk mencabul kehormatan wanita berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.