20 syarikat sahaja didenda kerana pelanggaran data sejak 2017

20 syarikat sahaja didenda kerana pelanggaran data sejak 2017

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata undang-undang berkaitan perlindungan data perlu disemak semula.

Sebanyak RM24,000 menjadi nilai purata denda dikenakan terhadap syarikat kerana pelanggaran data. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Hanya 20 syarikat sahaja dikenakan saman berhubung pelanggaran data bagi sejak enam tahun lalu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Katanya, syarikat terbabit dikenakan denda sebanyak RM24,000 setiap satu secara purata.

“Sebagai menteri, saya fikir RM24,000 (denda) secara puratanya rendah,” katanya pada wawancara bersama program ‘BFM Radio’s Breakfast Grille’.

“Saya berpendapat, kita perlu semak semula undang-undang (berkaitan perlindungan data) kerana data kita khazanah nasional.”

Minggu lalu, seorang pengguna Facebook mendakwa maklumat pengguna milik hampir 13 juta rakyat Malaysia bocor daripada Maybank, Astro dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Susulan itu, Astro memulakan siasatan dan mendapati tiada berlaku kebocoran, manakala Maybank juga mengesahkan perkara sama.

Dua agensi – CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.