
Beliau berkata, selain itu, pihaknya masih menunggu maklum balas mengenai rekod kemasukan pasangan berkenaan ke negara ini.
“Kita juga sedang bekerjasama dengan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) mengenai kesahihan dan ketulenan rakaman video yang ditularkan menerusi laman web ‘Sky Scraper City Forum’.
“Selain itu pada masa sama, Polis Daerah Dang Wangi sedang merakam percakapan pihak pengurusan menara berkenaan iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB),” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau tidak menolak kemungkinan rakaman itu dihasilkan dengan kesan teknologi terkini tanpa perlu berada di menara berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, pihak pengurusan PNB menyatakan bahawa sistem kawalan ketat yang dibuat di seluruh kawasan menara itu menyukarkan mana-mana pihak untuk masuk sekali gus memanjat menara berkenaan.
“Apapun pihak polis harus menunggu hasil dari siasatan yang dibuat selepas merujuk kepada SKMM dan JIM (Jabatan Imigresen),” katanya.
Yahaya berkata, setakat ini pihak polis menerima satu laporan dibuat pihak pengurusan selepas video pasangan itu memanjat Menara Merdeka 118 tular.