
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, dalam perutusan tahun baharunya berkata kerajaan Kedah yakin projek itu mampu melonjak ekonomi negeri secara drastik apabila siap.
“Pada masa sama, projek-projek pembangunan lain akan terus diberikan tumpuan khususnya Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam serta Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap yang sedang menjadi perhatian komuniti pelabur dalam dan luar negara.
“Kawasan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) juga sedang diperluas bagi memenuhi permintaan pihak industri yang semakin meningkat. Selain itu, kita juga sedang mempersiap pembukaan sebuah kawasan perindustrian baharu, Gurun Industrial Smart Park (GISP) di Gurun,” katanya.
Sanusi berkata, semua usaha berkenaan dilakukan bagi meningkatkan ekonomi rakyat Kedah khususnya menerusi peluang pekerjaan yang akan ditawarkan nanti.
Selain itu, menteri besar Kedah berkata projek mega Kedah Aerotropolis yang antara komponennya Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) telah pun ada pelabur baharu.
“Kedah Aerotropolis yang antara lain menempatkan Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing (SLAM) akan menjadi hab operasi MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) industri penerbangan bagi seluruh rantau Asia Tenggara,” katanya.
Setakat separuh pertama tahun ini, Sanusi berkata kerajaan negeri menerima pelaburan dari dalam dan luar negara bernilai RM9.7 bilion manakala RM68.3 bilion sepanjang tahun lepas.