
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata, perkara itu seiring dengan lanjutan pembiayaan Pas Mutiara oleh kerajaan negeri yang diumumkan baru-baru ini.
“Ini sekali gus bermaksud bahawa sekali lagi, jaringan pengangkutan awam di Pulau Pinang baik pengangkutan air atau darat adalah percuma bagi semua warganegara Malaysia.
“Pembiayaan tambang feri kepada penumpang pejalan kaki ini melibatkan peruntukan RM78,000 sebulan dengan jumlah tiket sebanyak 65,000 tiket sebulan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, program yang mula dilancarkan sejak 1 Julai 2021 itu mendapat sambutan hangat daripada warga Pulau Pinang dengan jumlah penumpang (ridership) menunjukkan momentum yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi apabila negara memasuki fasa endemik Covid-19.
Zairil berkata, penajaan itu membolehkan penumpang pejalan kaki rakyat Malaysia layak menikmati perkhidmatan feri Pulau Pinang secara percuma pada setiap masa.
Penumpang hanya perlu membawa MyKad yang telah didaftarkan terlebih dahulu di kaunter tiket dan mengimbasnya di peranti yang disediakan oleh pihak Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sebelum menaiki feri.
“Kerajaan negeri berharap dengan adanya pembiayaan tambang feri itu ia dapat sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos perjalanan warga Pulau Pinang yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Menurutnya usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri itu juga diharap dapat menjadi pemangkin untuk orang ramai menggunakan pengangkutan awam sebagai salah satu mod pengangkutan.