
Malaysia telah memenangi 13 pingat Olimpik secara keseluruhan – lapan perak dan lima gangsa – sejak pertama kali bertanding pada 1956. Pemain badminton Lee Chong Wei ialah atlet negara yang paling berjaya pada kejohanan itu dengan tiga pingat perak.
Menerusi hantaran di Facebook, Yeoh menyatakan bagaimana atlet negara dalam pelbagai sukan mempunyai “semangat membara” dan berazam untuk berjaya dalam bidang masing-masing.
“Dalam pertemuan saya dengan atlet kita, saya dapat melihat semangat membara dan keazaman dalam diri mereka tanpa mengira apa jenis sukan,” katanya.
“Atlet kita mempunyai keazaman yang tinggi dalam diri mereka yang perlu dinyalakan untuk mengulangi semula zaman keemasan dan kegemilangan yang pernah kita cipta bersama, satu masa dahulu.
“Untuk mencapai matlamat ini, kita mesti percaya bahawa Malaysia boleh bangkit semula di persada dunia dan melaungkan kata-kata keramat ‘Malaysia Boleh.
“Memasuki tahun 2023, sasaran meraih emas pertama Olimpik di Sukan Olimpik 2024 adalah satu kemestian buat setiap atlet dan rakyat Malaysia.”
Tambahnya, harapan pingat emas pertama ini akan melahirkan wira dan wirawati negara yang baharu, memberikan inspirasi kepada generasi juara dan memartabatkan sukan di semua peringkat.
Bagaimanapun, Yeoh menegaskan, “Road to Gold” bukan hanya tentang “membawa pulang pingat dari Paris 2024”.
Sebaliknya beliau berkata, ia adalah mengenai mencipta formula untuk atlet, memupuk ekosistem sukan secara mapan, mengumpulkan data untuk pelapis akar umbi, membantu atlet membina jambatan dengan peminat sukan tanah air dan mengukur pembangunan serta kejayaan sukan negara.