
Guok Ngek Seong berkata, keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan yang dikeluarkan tahun lepas menyatakan bahawa pegawai awam juga mempunyai reputasi untuk dilindungi.
Dalam kes itu, bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memenangi rayuannya terhadap kumpulan hak Melayu Perkasa yang melabelnya sebagai pengkhianat kerana didakwa mendedahkan rahsia negara kepada kerajaan Singapura.
Peguam itu berkata demikian sebagai respons kepada tindakan Anwar memfailkan empat saman fitnah terhadap pemimpin Bersatu dan PAS selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri.
Presiden PKR itu memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor kerana didakwa menggambarkan beliau sebagai tidak bermoral.
Beliau turut memfailkan saman terhadap Ketua PAS Perak Razman Zakaria berhubung dakwaan Anwar akan mempromosikan agenda LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis dan menyokong agenda komunis.
Anwar juga menyaman Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau menerima RM15 juta daripada kerajaan Selangor semasa berkhidmat sebagai penasihat ekonomi.
Selain itu, beliau mengheret Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim ke mahkamah kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah bahawa Anwar berbohong tentang menerima gaji RM1 semasa menjadi penasihat ekonomi Selangor.
Guok berkata, tokoh masyarakat hanya patut memfailkan tindakan fitnah dan tidak menggunakan instrumen kerajaan seperti polis dan pendakwa raya untuk memfailkan tuduhan jenayah.
“Dana awam akan digunakan jika kertas siasatan dibuka untuk kes-kes yang sepatutnya difailkan saman sivil,” katanya.
Bagaimanapun Guok berkata, tokoh masyarakat patut menyaman atas kapasiti hak individu mereka sebagai warganegara.
Beliau berkata, mereka tidak sepatutnya mengekalkan saman fitnah atas kapasiti penjawat awam.
Tindakan Anwar menyaman defendan betul, katanya, kerana mereka telah membuat serangan langsung dan peribadi.
Bagaimanapun, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar berkata, individu yang memegang jawatan politik tinggi harus mengelak daripada memulakan saman fitnah melainkan tiada alternatif.
Sebagai contoh, katanya, apabila tuduhan khusus rasuah dibuat.
Beliau berkata, bahaya saman fitnah adalah defendan hanya perlu mewajarkan fitnah itu.
Syed Iskandar berkata, dalam kes Anwar, pengampunan telah sepenuhnya membersihkan namanya, justeru tiada keperluan untuk saman fitnah.
“Ia hanya akan memberi peluang kepada seteru politiknya untuk membuka semula isu yang diadili dalam kes jenayah.”
Katanya, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak pernah memfailkan saman fitnah terhadap sesiapa tetapi menggunakan media untuk menangkis dakwaan.