
Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy, berkata tiada keperluan untuk polis memanggil enam aktivis terbabit kerana himpunan penyerahan memorandum itu berlaku secara aman.
“Ramai anggota polis ada di sana pada 20 Dis lalu dan rakam apa berlaku. Sepatutnya rujuk saja rakaman dibuat polis di tempat kejadian sudah cukup, kenapa nak panggil kita lagi untuk menyiasat dan membuang masa kita,” katanya kepada media ketika hadir ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan, hari ini.
Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, berkata polis wajar melakukan siasatan jika terdapat laporan daripada orang awam termasuk berlaku kerosakan harta semasa serahan memorandum tersebut.
“Kalau ada laporan polis dibuat oleh orang awam wajarlah siasat, malah wakil menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) ada terima memorandum kita, adakah ini bermakna menteri KDN bersubahat dengan penyerahan memorandum kita bila kita disiasat.
“Bagi kami ini proses buang masa, kami harap proses buang masa polis dihentikan, kalau ada kerosakan harta awam, pokok rosak, pasu pecah masa penyerahan memorandum wajar ia siasat, ini kita buat secara aman,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Suaram, Wong Yan Ke, mengingatkan kerajaan baharu pimpinan Anwar Ibrahim tidak melupakan hak kebebasan bersuara termasuk untuk mengadakan perhimpunan.
“Ini kali pertama selepas kerajaan baharu ditubuhkan kita dipanggil beri keterangan, kita nak tegaskan kerajaan terutama perdana menteri (Anwar), beliau sertai banyak himpunan sebelum ini, jangan lupa sejarah beliau, sejarah reformasi,” katanya.
Selain Sevan, Wong dan Arutchelvan, tiga lagi individu turut dipanggil memberi keterangan ialah Penyelaras Suaram Azura Nasron, ahli keluarga tahanan Sosma, Ranjith Kumar dan pemimpin Pemuda MIC Kuala Lumpur, Andrew David.
Pada 20 Dis lalu mereka menyerahkan memorandum berhubung rayuan pembebasan tahanan Sosma kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Sesi penyerahan memorandum itu turut dihadiri wakil rakyat Pakatan Harapan yang juga Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau, P Prabakaran (Batu), RSN Rayer (Jelutong), Chow Yu Hui (Raub), Tan Hong Pin (Bakri) dan Chiew Choon Man (Miri).