
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dalam kenyataannya hari ini turut meminta supaya tahanan Sosma dibebaskan serta-merta sementara menunggu sesi libat urus selesai.
Ia menyusul selepas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh pada 23 Dis lalu yang memaklumkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bersetuju untuk mengkaji dan mengadakan perbincangan mengenai peruntukan dalam Sosma.
Ramkarpal dilaporkan berkata, Saifuddin juga setuju dengan cadangan untuk melakukan libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk pegawai Kementerian Dalam Negeri dan polis.
Dalam perkembangan sama, Rayer berkata beliau mengalu-alukan keputusan Saifudin untuk mengadakan sesi itu bagi mengkaji semula akta yang ketika ini mendapat kritikan meluas.
“Saya berharap bahawa sesi libat urus ini akan diadakan dengan segera.
“Saya juga berharap bahawa peguam-peguam yang terlibat dalam mengendalikan perbicaraan kes Sosma yang sedang dibicarakan di mahkamah sekarang akan turut dijemput dalam sesi libat urus ini,” katanya.
Rayer, turut berpandangan bahawa terdapat dua peruntukan Sosma yang perlu dikaji semula iaitu membabitkan Seksyen 13 berkaitan had jaminan dan Seksyen 4(5) berkaitan kebenaran tahanan 28 hari tanpa keperluan dibawa ke hadapan majistret.
Saifuddin sebelum ini memberi petunjuk akta itu tidak akan disemak semula dan menyatakan individu ditahan boleh mengambil khidmat peguam sekiranya dihadapkan ke mahkamah.
Susulan itu, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo meminta Saifuddin mempertimbangkan keputusan tersebut kerana ia bertentangan pendirian Pakatan Harapan (PH) selama ini yang mengakui Sosma bersifat menindas.