Najib buat rayuan hidupkan semula saman terhadap Thomas

Najib buat rayuan hidupkan semula saman terhadap Thomas

Hakim Ahmad Bache bulan lepas memutuskan bahawa peguam negara mempunyai imuniti daripada disaman kerana menjalankan tugasnya.

Najib Razak mendakwa Tommy Thomas, yang dilantik sebagai peguam negara pada 4 Jun 2018, menjalankan tugasnya ‘selaras dengan rancangan kerajaan PH’.
PETALING JAYA:
Najib Razak telah memfailkan rayuan untuk menghidupkan semula saman terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas atas salah laku dalam jawatan awam.

Mervyn Lai, salah seorang peguam Thomas, berkata salinan termeterai notis rayuan itu telah disampaikan kepada firma guaman mereka semalam.

Peguam Yudistra Darma Dorai, yang mewakili Najib, berkata notis rayuan telah difailkan pada 22 Dis.

Pada 25 Nov, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman bekas perdana menteri itu.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Ahmad Bache berkata, peguam negara mempunyai budi bicara yang tidak terhad untuk memulakan, mengurangkan dan menarik balik tuduhan seperti yang diperuntukkan bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, peguam negara mempunyai imuniti daripada disaman kerana menjalankan tugasnya dan tindakannya tidak boleh diadili, bermakna ia tidak boleh dicabar di mahkamah undang-undang.

Najib memfailkan saman terhadap Thomas tahun lepas, mendakwa tuduhan jenayah berkaitan 1MDB yang dikenakan terhadapnya adalah “sebahagian daripada sesuatu yang telah lama dirancang”, didalangi kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu yang memerintah antara Mei 2018 dan Februari 2020.

Beliau mendakwa Thomas, yang dilantik sebagai peguam negara pada 4 Jun 2018, menjalankan tugasnya “selaras dengan rancangan (itu)”.

Thomas meletak jawatan pada 28 Feb 2020 berikutan kejatuhan kerajaan PH.

Dalam samannya, Najib mendakwa Thomas memfailkan sebanyak 35 tuduhan dalam empat kes, termasuk berkaitan 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC).

Ahmad berkata, tiada apa yang menunjukkan salah laku Thomas ketika memegang jawatan awam, dan bahawa beliau menggunakan proses undang-undang dengan berniat jahat, atau melulu dalam mengemukakan tuduhan tersebut.

Katanya, pihak pendakwaan berhak mengemukakan tuduhan itu dan terpulang kepada mahkamah perbicaraan dalam kes tersebut untuk menentukan sama ada Najib bersalah atau sebaliknya berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.