Rumah, barang rosak setiap tahun, mangsa banjir rayu tindakan

Rumah, barang rosak setiap tahun, mangsa banjir rayu tindakan

Zauyah Deraman berkata banjir kali ini adalah paling teruk apabila rumahnya ditenggelami air mencecah hingga 0.7 meter.

Zauyah Deraman mula membersihkan rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Ana, Tumpat baru-baru ini. (Gambar Bernama)
TUMPAT:
Tiada apa yang diharap oleh Zauyah Deraman, 36, melainkan tindakan sewajarnya daripada kerajaan untuk segera mengatasi masalah banjir yang saban tahun melanda negeri di pantai timur terutamanya Kelantan.

Dia yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal, berkata tidak sanggup lagi melihat rumah dan barangan peribadinya rosak sehingga perlu dibuang setiap kali banjir melanda.

“Orang yang tak pernah kena banjir tak tahu perasaan kami yang setiap tahun jadi mangsa. Sedih apabila melihat banyak barang rosak dan setiap tahun nak kena beli barang baharu,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Ana, di sini semalam.

Zauyah yang tinggal berdua bersama ibunya, Fatimah Yusof, 74, berkata banjir kali ini adalah paling teruk pernah dialami apabila paras air di dalam rumah mencecah hingga 0.7 meter.

Menurutnya, air mula melimpah masuk ke perkarangan rumahnya pada petang Isnin minggu lepas dan naik mendadak menjelang malam menyebabkan dia segera meminta bantuan daripada rakannya untuk mengalihkan perabot ke tempat yang dirasakan selamat.

“Kami ingat sudah letak di tempat selamat, rupa-rupanya banjir kali ini lebih tinggi daripada yang berlaku bulan Mac lepas,” katanya.

Situasi tersebut memaksa dia dan ibunya berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat selama enam hari dan hanya pulang ke rumah dua hari lepas.

“Terkejut juga lihat keadaan dalam rumah yang agak huru-hara dengan perabot masih ditenggelami air. Selain itu, dinding rumah turut rosak dan lantai pula reput akibat terlalu lama terendam dalam air, tambah menyedihkan apabila melihat mesin basuh serta peti ais juga rosak,” katanya.

Menurut Zauyah, dengan keadaan dirinya yang cacat kedua-dua tangan dan kaki serta ibu yang uzur, memang mustahil untuk mereka mencuci pakaian dengan tangan.

Sehubungan itu, anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang sudi menyumbang mesin basuh baharu kepadanya.

Dalam pada itu, dia turut meluahkan rasa syukur apabila ada pihak yang prihatin tampil membantu membersihkan rumahnya semalam.

“Jika tiada yang membantu bersihkan rumah memang kami terpaksa tidur dalam selut,” katanya sambil menjelaskan adik-beradiknya yang lain tinggal di luar Kelantan dan ada yang turut terjejas banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.