Jangan tangguh tapi beri subsidi gaji, kata MTUC

Jangan tangguh tapi beri subsidi gaji, kata MTUC

MTUC kecewa dengan keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 untuk majikan yang kurang lima pekerja.

MTUC berkata tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum itu juga seolah-olah mendiskriminasi pekerja yang bekerja di syarikat kecil. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memberi subsidi gaji kepada majikan yang berdepan masalah melaksanakan gaji minimum RM1,500 dan bukannya menangguhkan pelaksanaan itu untuk syarikat yang mempunyai kurang lima pekerja.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya kecewa dan terkejut dengan pengumuman itu yang dibuat seminggu sebelum pelaksanaan gaji minima RM1,500.

“Kerajaan sepatutnya meneruskan pelaksanaan itu seperti yang dijanjikan dan membuka permohonan untuk dapat subsidi gaji minimum bagi syarikat yang mempunyai masalah.

“Ini adalah satu langkah drastik. Majikan mempunyai lapan bulan untuk membuat persediaan untuk ini, dan jika anda bertanya kepada mereka (majikan), mereka akan selalu mengatakan mereka tidak bersedia,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, tindakan kerajaan itu juga seolah-olah mendiskriminasi pekerja kerana mereka yang bekerja di syarikat besar akan menikmati gaji minimum RM1,500, tetapi bagi pekerja di syarikat kecil gaji mereka tidak berubah.

Effendy menegaskan, amat penting peraturan baharu itu dilaksanakan pada 1 Jan ini kerana ia telah pun diwartakan dan jika ditangguhkan sebahagian pekerja akan merasakan mereka “dikhianati” kerajaan.

“Kerajaan tidak boleh main-main. Pindaan itu telah pun diwartakan. Jika kita tidak boleh memegang sesuatu yang telah diwartakan, maka apa yang boleh kita janji?,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan kuatkuasa gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai pekerja kurang lima orang, dari 1 Jan 2023 kepada 1 Julai 2023.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata penangguhan selama enam bulan itu dibuat setelah kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan berikutan negara dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun hadapan.

Sementara itu, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor turut bersetuju dengan kenyataan Effendy dan berkata kerajaan tidak perlu menangguhkan, tetapi sebaliknya perlu memberi subsidi kepada majikan yang mempunyai masalah untuk melaksanakannya.

“MTUC cukup kecewa dengan keputusan ini dan menganggap penganiayaan kepada pekerja bawahan B40.

“Tindakan ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak menghormati pekerja dalam membuat keputusan dasar bagi golongan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.