
Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi suspek telah meminta adiknya yang berusia 23 tahun menukar siaran televisyen.
Bagaimanapun Farouk berkata, mangsa yang bekerja sebagai penjual burger tersilap menekan alat kawalan jauh menyebabkan suspek berang sebelum menumbuk badan dan mulut mangsa.
“Suspek juga menampar muka mangsa dan mengugut dengan berkata ‘dah cukup bagus aku tak bunuh kau’. Difahamkan, suspek kerap bergaduh dengan mangsa kerana sikapnya yang panas baran,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat daripada serangan tersebut mangsa dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan ditumbuk di bahagian dada, rusuk kanan dan bibir.
“Susulan laporan itu, kami menahan suspek berusia 26 tahun yang juga penganggur di rumahnya jam 12.30 tengah malam tadi.
“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes curi dan dadah, manakala ujian air kencing adalah negatif dadah,” katanya.
Farouk berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 30 Dis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan dengan sengaja.
“Polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang perbuatan jenayah termasuk ugutan dan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.