Beberapa projek tangani isu banjir di Perak

Beberapa projek tangani isu banjir di Perak

Exco Perak Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beberapa projek tebatan banjir dilaksanakan di daerah Larut, Matang dan Selama.

Exco Perak Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beberapa projek tebatan banjir yang menelan kos tinggi dengan menggunakan peruntukan kerajaan persekutuan dilaksanakan di negeri itu. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kerajaan Negeri Perak serius dalam menangani isu banjir dengan pelaksanaan beberapa projek tebatan banjir khususnya di daerah Larut, Matang dan Selama, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata ia dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) antaranya projek tebatan banjir Sungai Larut Fasa 1 selain beberapa projek lain yang menelan kos tinggi dengan menggunakan peruntukan kerajaan Persekutuan.

“JPS bertanggungjawab dalam menyelenggara sungai-sungai bagi mengurangkan masalah banjir yang satu daripada kaedahnya ialah mengorek pulih sungai dan hasil korekan itu akan dijadikan sebagai ban banjir.

“Hasil korekan berkenaan tidak dibawa keluar memandangkan kos pengeluaran pasir melibatkan kos tinggi dan memerlukan kelulusan daripada pejabat daerah dan tanah.

“Namun JPS telah bekerjasama dalam perkongsian pintar dengan pihak Menteri Besar Incorporated untuk menjalankan kerja-kerja pengorekan sungai-sungai utama yang diluluskan oleh Mesyuarat Kerajaan Negeri secara blanket,” katanya menjawab soalan Khalil Yahya (PAS-Kubu Gajah) mengenai langkah kerajaan negeri berkaitan projek tebatan banjir.

Mohammad Nizar berkata melalui usaha sama pintar ini, hasil korekan sungai akan dijual sekaligus dapat menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan negeri dan dapat mengurangkan masalah banjir.

Jelasnya, projek tebatan banjir adalah satu daripada langkah penyelesaian jangka masa panjang bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan yang berisiko dengan kebanyakan projek memerlukan kajian lebih terperinci dalam mereka bentuk kerana menelan kos yang tinggi dan jangka masa panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.