Banjir: Mangsa di Sarawak meningkat, Kelantan, Sabah turun

Banjir: Mangsa di Sarawak meningkat, Kelantan, Sabah turun

Penduduk di rumah atas air di Sabah yang dipindahkan akibat fenomena air pasang juga dilaporkan berkurangan.

Angka mangsa banjir di Kelantan dan Sabah mencatatkan penurunan, Sarawak pula meningkat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bilangan mangsa banjir mencatatkan penurunan di Kelantan dan Sabah manakala Sarawak menyaksikan sedikit peningkatan.

Menurut Bernama, jumlah mangsa di Terengganu dan Perak pula dilaporkan kekal.

Pada masa sama, penduduk di pesisir pantai Sabah, khususnya yang mendiami rumah atas air dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan fenomena air pasang turut dilaporkan berkurangan.

Di Kelantan, jumlah mangsa berkurangan kepada 1,235 orang daripada 428 keluarga berbanding 1,511 orang daripada 515 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan, memaklumkan semua mangsa banjir ditempatkan di lima PPS dalam jajahan Pasir Mas dan Tumpat.

Di Sabah, mangsa yang dipindahkan di Kota Belud berkurangan kepada 135 orang daripada 56 keluarga berbanding 139 orang daripada 57 keluarga petang semalam.

Jumlah penduduk rumah atas air dan dipindahkan akibat fenomena air pasang besar berkurangan kepada 1,454 orang daripada 299 keluarga berbanding 1,506 orang daripada 314 keluarga.

Manakala menurut JPBN di Sarawak, PPS Dewan Masyarakat Kampung Lutong, Sebuyau dibuka lewat petang semalam berikutan hujan berterusan di kawasan itu sejak Jumaat.

Ini menjadikan jumlah PPS yang beroperasi bagi bencana banjir di negeri itu kini dua dan secara keseluruhan, seramai 91 mangsa dicatatkan setakat 7 malam.

Selain itu, situasi banjir di Terengganu tidak berubah dengan 138 mangsa.

Sekretariat JPBN berkata Besut merupakan satu-satunya daerah yang masih terjejas dengan dua PPS dibuka iaitu Masjid Kampung La yang menempatkan 126 mangsa dan Balairaya Kampung Pantai, 12 mangsa.

Begitu juga di Perak apabila jumlah mangsanya kekal 62 orang 62 orang daripada 14 keluarga.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART) di Hilir Perak menjadi satu-satunya PPS yang beroperasi ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.