Tragedi tanah runtuh Batang Kali ke-2 terbesar libat mangsa maut

Tragedi tanah runtuh Batang Kali ke-2 terbesar libat mangsa maut

Ini selepas tragedi runtuhan Kondominium Highland Towers yang mengorbankan 48 nyawa pada 1992.

Kejadian di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Dis itu melibatkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban. (Gambar Bomba)
KUALA LUMPUR:
Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Dis lepas ialah kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.

Tragedi pada kira-kira 2.30 pagi itu membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 lagi terkorban, susulan tanah runtuh sehingga menimbus kawasan perkhemahan.

Kejadian menyayat hati itu meragut nyawa 18 orang dewasa dan 13 kanak-kanak.

Menurut Komander Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Mohd Khairul Jamil, pihaknya agak terkejut apabila diberitahu jumlah mangsa yang terlibat adalah 100 orang.

“Kebiasaannya sebelum ini, kejadian runtuhan hanya melibatkan seramai tiga atau empat orang mangsa,” katanya.

“Kemudian saya mengarahkan satu pasukan 10 anggota yang diketuai oleh Ketua Sektor Heavy USAR SMART Mohamad Hafiezul Abdul Halim ke lokasi kejadian” katanya dalam “Rancangan Apa Khabar Malaysia” terbitan Bernama TV hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Hafiezul berkata, peranan pasukan beliau di lokasi kejadian adalah untuk memberi bantuan dari segi kepakaran dan khidmat nasihat agar kerja-kerja mencari dan menyelamat dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, antara alatan yang dibawa oleh pasukannya pada hari pertama kejadian ialah “structural movement sensor” yang mengawasi pergerakan tanah yang boleh membahayakan pasukan penyelamat.

“Antara lain pasukan kami juga yang memberi nasihat agar jentera berat digunakan dalam kerja mencari susulan ketebalan tanah yang dianggarkan sehingga 20m,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.