
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu, bilangan kes tempatan menunjukkan penurunan 18.7% iaitu daripada 7,232 kes kepada 5,880 kes.
“Bilangan kes import juga menurun sebanyak 17.6% iaitu 17 kes kepada 14 kes,” katanya dalam kenyataan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini.
Beliau berkata, bilangan kes kematian turut berkurangan sebanyak 34% iaitu 31 kes pada minggu itu berbanding 47 kes, minggu sebelumnya.
“Purata kes aktif setiap hari bagi minggu lalu menurun sebanyak 13.7% iaitu (16,895 kes kepada 14,580 kes),” katanya dan menambah purata nilai kadar kebolehjangkitan (RT) direkodkan pula ialah 0.84, pada minggu berkenaan.
Dr Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh juga menunjukkan penurunan dengan 7,791 kes berbanding 10,330 kes pada minggu sebelumnya.
Mengenai situasi bencana banjir, beliau berkata enam kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir minggu lalu.
“Kesemuanya adalah kes ringan dan pesakit meneruskan isolasi di rumah setelah pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup,” katanya yang turut memberitahu tiada sebarang kes positif Covid-19 dilapor di PPS.
Selain itu, katanya 3,212 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir di PPS antaranya melibatkan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) iaitu 1,749 kes dan penyakit kulit (1,232), konjunktivitis (124), acute gastroenteritis (106) dan chicken-pox (satu).
“Semua kes yang dilaporkan adalah kes terpencil dan tiada kejadian wabak penyakit berjangkit berlaku di PPS,” kata Noor Hisham.