‘Fakta tak berbohong’, Sng tunjuk bukti keabsahan

‘Fakta tak berbohong’, Sng tunjuk bukti keabsahan

Larry Sng menuduh Zuraida Kamaruddin memutarbelitkan fakta bagi mengelirukan orang ramai.

Larry Sng berkata Zuraida Kamaruddin antara pemimpin parti yang bersetuju dengan terma dan syarat dokumen yang mengesahkan keabsahannya sebagai presiden. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng berkata, Zuraida Kamaruddin mesti mengiktirafnya sebagai presiden parti itu selepas menandatangani dokumen mengesahkan keabsahannya, bulan lalu.

Katanya, bekas Ahli Parlimen Ampang itu telah menandatangani penerimaan terma dan syarat mengenai perkara itu.

Sng berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Zuraida mempertikaikan keabsahannya sebagai presiden parti.

Menurut dokumen ditandatangani pada 1 November yang dimuat naik Sng ke Facebook, Zuraida juga mesti mengiktiraf pelantikan ahli jawatankuasa disiplin PBM.

Salinan surat yang dimuat naik Presiden PBM Larry Sng ke Facebook sebagai respons mengenai pertikaian keabsahannya sebagai presiden.

Dokumen itu turut menyatakan Zuraida mengiktiraf pelantikan ahli Majlis Tertinggi parti oleh Sng, manakala kekosongan jawatan lain dalam majlis berkenaan juga untuk diputuskan olehnya.

Ahli Majlis Tertinggi parti itu telah dilantik pada 30 Oktober.

Dokumen itu turut menyatakan Sng akan menandatangani watikah bagi semua calon parti dinamakan Zuraida, dan, jika perlu, Zuraida sendiri akan menandatangani watikah bagi calon-calon di Semenanjung.

“Zuraida dan Haniza (Timbalan Presiden Haniza Talha) akan cuba memutarbelitkan fakta dan mengelirukan umum,” katanya dalam hantaran di Facebook itu.

“Itulah punca mereka digantung. Mujur bagi PBM, saya ada bukti untuk mengingatkan mereka mengenai apa yang telah dipersetujui. Fakta tidak berbohong.”

Semalam, Zuraida mengkritik Sng kerana menyangkal resolusi oleh Majlis Tertinggi parti itu untuk melantiknya sebagai presiden.

Zuraia turut mengkritik cara Sng menguruskan parti malah menggelarnya “tidak matang dan angkuh”.

Sementara itu, Haniza menuduh Sng bertindak secara unilateral dalam memutuskan untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Haniza turut menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menyiasat keabsahan Sng sebagai presiden parti kerana mendakwa kepimpinan tertinggi telah “menolaknya sepenuhnya”.

Susulan kenyataan mereka itu, Sng mencadangkan kedua-duanya bersama penyokong yang telah dipecat dari Majlis Tertinggi berhenti politik dan “bermuhasabah diri”.

Sementara itu, sumber parti memberitahu FMT bahawa jawatankuasa disiplinnya akan memutuskan esok, status keahlian Zuraida, Haniza dan sembilan lagi ahli Majlis Tertinggi yang telah digantung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.