Bekalan air di 472 kawasan Selangor pulih 55%

Bekalan air di 472 kawasan Selangor pulih 55%

Kawasan Kuala Langat setakat ini mencapai peratusan pemulihan tertinggi, iaitu sebanyak 93%, manakala bekalan air di Putrajaya masih belum dipulihkan.

Pada Sabtu, sebanyak 472 kawasan di Selangor mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekalan air di kawasan di Selangor yang terjejas sejak Sabtu telah pulih 55% setakat 6 pagi ini.

Menurut Air Selangor dalam kenyataan, tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Kawasan Kuala Langat setakat ini mencapai peratusan pemulihan tertinggi, iaitu sebanyak 93%, manakala bekalan air di Putrajaya masih belum dipulihkan.

Awal pagi Sabtu, sebanyak 472 kawasan di Selangor mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.

Sebanyak 172 kawasan terjejas di Petaling, 54 di Hulu Langat, 196 di Sepang, 27 di Kuala Langat dan 23 di Putrajaya.

Semalam, kedua-dua LRA terbabit dilaporkan kembali beroperasi semula selepas bacaan pencemaran bau (ton) merekodkan bacaan sifar sebanyak tiga kali berturut-turut.

Air Selangor berkata, pengoperasian semula itu membabitkan proses pembersihan dan rawatan air yang mengambil masa kira-kira 12 jam, dan susulan itu, bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada pengguna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.