Bantuan khas banjir Terengganu diagih awal tahun depan, kata Samsuri

Bantuan khas banjir Terengganu diagih awal tahun depan, kata Samsuri

Menteri besar berkata, fokus kerajaan negeri ketika ini adalah bagi memastikan kesemua mangsa banjir dapat pulang ke rumah masing-masing terlebih dahulu.

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan wang tunai RM1,000 disalurkan kepada kira-kira 10,000 ketua isi rumah yang terbabit dengan banjir di negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bantuan wang tunai RM1,000 kepada mangsa banjir di Terengganu akan diagihkan pada awal tahun depan, kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.

Samsuri berkata bantuan tunai dijangka disalurkan kepada mangsa banjir di Terengganu sama ada pada bulan Januari atau Februari 2023.

“Kita ambil masa sikitlah, kita tengok keadaan. Jangkaan dalam bulan satu atau bulan dua ini,” katanya ketika ditemui wartawan di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut ADUN Rhu Rendang itu, bantuan itu melibatkan 10,000 ketua isi rumah yang terlibat dengan banjir di negeri tersebut baru-baru ini.

Sebelum ini, beliau mengumumkan bantuan khas tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang berdaftar banjir di negeri Terengganu.

Bantuan wang tunai RM10,000 pula akan diberikan kepada ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia disebabkan banjir pada kali ini.

Samsuri pada masa yang sama menjelaskan bahawa keutamaan kerajaan negeri pada ketika ini adalah bagi memastikan kesemua mangsa banjir dapat pulang ke rumah masing-masing terlebih dahulu.

Justeru itu, katanya proses pembersihan dijalankan melibatkan pembuangan sampah untuk memastikan mangsa banjir dapat pulang ke rumah mereka.

“Kita fokus kepada itu dulu, asal mereka boleh balik ke rumah masing-masing dengan keadaan yang agak selesa.

“Keperluan lain sedang ditinjau dan diperhatikan di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan peringkat daerah masing-masing,” katanya.

Berkenaan dengan isu sampah yang bertimbun selepas banjir surut, menteri besar Terengganu itu berkata operator pembersihan telah melanjutkan tempoh operasi mereka bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.