Pasukan SAR hampir putus asa, mangsa terakhir paling sukar dikesan

Pasukan SAR hampir putus asa, mangsa terakhir paling sukar dikesan

Pasukan SAR merasakan peluang tipis dalam menemui mangsa terakhir kerana mereka berulang kali mencari dan menggali di sektor A.

Mayat ke-31 yang merupakan seorang kanak-kanak lelaki, ditemui dalam beg tidur di kedalaman tanah 1.5 meter di sektor A pada 4.53 petang semalam.
PETALING JAYA:
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hampir berputus asa dan hilang harapan pagi semalam, selepas melakukan penggalian di semua sektor runtuhan tanah dalam usaha mengesan mangsa terakhir di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali.

Berbekalkan sisa-sisa tekad yang ada, mayat ke-31 yang merupakan seorang kanak-kanak lelaki, ditemui dalam beg tidur di kedalaman tanah 1.5 meter di sektor A pada 4.53 petang semalam, hari kesembilan operasi SAR.

Kawasan SAR dibahagikan kepada tiga sektor, iaitu sektor A (hill view), sektor B (farm view), sektor C (riverside), yang membabitkan lebih 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi, khidmat unit anjing pengesan (K9) dan jentera berat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pasukan SAR merasakan peluang tipis dalam menemui mangsa terakhir kerana mereka berulang kali mencari dan menggali di sektor A.

Katanya, mereka percaya mangsa terakhir berada di sektor A kerana bapa dan kakaknya ditemui di kawasan terbabit pada hari pertama kejadian 16 Dis lalu.

“Kami menyerahkan segala urusan dan tawakal kepada Allah,” katanya kepada Bernama di pos kawalan tempat kejadian (PKTK).

Pada petang semalam, katanya, pasukan bomba melalui hasil perkongsian dengan agensi penyelamat lain menerima maklumat menyatakan terdapat cairan pelik di kawasan pencarian sektor A.

“Mangsa terakhir adalah paling sukar kerana kami sudah membuat penggalian ulangan (di situ), tapi dengan izin Allah, akhirnya kami menemui sekujur tubuh.”

Katanya, perkara paling mencabar dalam operasi SAR kali ini ialah anggota penyelamat terpaksa menggali tanah sedalam 7m untuk mengeluarkan mayat empat sekeluarga.

Beliau berkata, empat mayat itu ditemui dalam keadaan bergulung dengan khemah dan peralatan khemah.

“Saya mengucapkan syukur Alhamdulillah kerana operasi SAR berjalan lancar dan berterima kasih kepada anggota penyelamat lain.”

Walaupun PKTK ditutup 12 tengah hari tadi, tetapi kerja teknikal masih diteruskan seperti biasa, dengan beberapa jentera berat seperti jengkaut masih berada di lokasi pencarian.

Seramai 92 mangsa terbabit dalam tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi 16 Dis lalu, dengan 61 orang terselamat dan 31 lagi terkorban. Mangsa korban terdiri daripada 18 dewasa dan 13 kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.