
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan berkata korban ke-31 tragedi tanah runtuh itu dikenali sebagai Eng Shao Qi, merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Nadma turut memaklumkan proses bedah siasat untuk semua mayat selesai dijalankan, dikenal pasti, dan diserahkan kepada waris oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.
“Proses mengenal pasti mayat mangsa dijalankan dengan menggunakan kombinasi empat kaedah iaitu pengecaman DNA, cap jari, gigi, dan pengecaman pihak waris pada barangan peribadi serta tanda unik pada badan mangsa,” menurutnya.
Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh berakhir selepas mayat terakhir ditemukan oleh pasukan SAR dalam beg tidur kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A.
Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi, 16 Dis lepas itu menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat, daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu.