
Menurut Fuziah, bekalan yang kurang itu ialah telur ayam, minyak masak paket, dan tepung gandum.
“Sebanyak 4,730 premis di seluruh negara diperiksa sepanjang Ops Terjah dan 1,220 premis didapati mempunyai masalah kekurangan bekalan komoditi berkenaan,” katanya selepas memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di Kuantan.
Katanya, data berkenaan diperoleh sepanjang pelaksanaan Ops Terjah bermula 16 Dis lalu, menurut laporan Berita Harian.
Fuziah berkata kementeriannya akan mengambil tindakan perlu bagi menjamin kestabilan bekalan barangan di pasaran, berpandukan dapatan Ops Terjah.
“Data yang diperoleh ketika pelaksanaan Ops Terjah akan dianalisis untuk memastikan sama ada masalah kekurangan bekalan berlaku secara menyeluruh atau mengikut lokasi.
“Kita juga mahu mengenal pasti kecekapan penyaluran atau pengedaran bekalan daripada pengeluar kepada pembekal atau pemborong sebelum sampai kepada peruncit dan pengguna.”
Sementara itu, 1,008 premis di seluruh negara diperiksa sepanjang tiga hari pelaksanaan SHMMP Krismas. Tiada aduan atau kes dihasilkan dan pemeriksaan akan diteruskan sehingga Selasa.