
Syarikat sanitasi itu berkata, ramai tidak menyedari apa yang akan berlaku jika sistem pembetungan tidak diselenggara dengan baik.
Sistem pembetungan termasuk di rumah, yang menghubungkan pembetungan rumah ke loji IWK dan tangki septik komunal yang dikongsi lebih sebuah premis.
Ketua Unit Perniagaan Nyahenap Cemar IWK Pauzi Mohamed berkata, semua pengguna perlu menyelenggara sistem pembetungan mereka dengan membersihkannya secara berkala.

“Pengguna dengan tangki septik berasingan dan sistem tangki septik komunal patut tahu tangki ini hanya kemudahan simpanan kumbahan sementara.
“Apabila tangki septik tidak dikosongkan, apa saja yang masuk setiap hari akan bertambah dan akhirnya memenuhi ruang dalam tangki,” katanya.
“Partikel daripada kumbahan akan mendap di dasar tangki, membentuk enap cemar. Jika nyahenap cemar tidak dilakukan secara berkala, enap cemar terkumpul akan mengeras.”
Apabila ini berlaku, kumbahan yang masuk akan melalui tangki itu tanpa dirawat dan menuju sumber air serta mencemarkan sungai serta laluan air.
Oleh itu, Pauzi berkata, amat penting pengguna mengosongkan tangki septik sekurang-kurangnya dua tahun sekali untuk memastikan ia berfungsi dengan lebih cekap.
“Ini juga untuk mengelakkan penularan penyakit bawaan air yang berbahaya dan boleh menjejaskan kesihatan.”
Katanya, kerajaan mewartakan Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 tahun lepas yang mewajibkan semua pemilik atau pengguna tangki septik menyelenggara dan mengosongkan tangki septik secara berkala.
Peraturan yang berkuat kuasa Mac 2021 itu menetapkan pemilik atau penghuni perlu bertanggungjawab memastikan tangki septik diurus dan diselenggara dengan baik.
“IWK sudah menghantar notis berhubung nyahenap cemar berjadual kepada 1.3 juta pemilik tangki septik di Semenanjung Malaysia secara berperingkat sejak Julai 2021.
“Tetapi, ramai pengguna yang menerima notis ini tidak mengambil sebarang tindakan lanjut atau mengabaikannya.
“Mana-mana pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni premis yang gagal mematuhi arahan notis bertulis kedua daripada IWK akan dianggap melakukan kesalahan di bawah subseksyen 65 (3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Act 655] dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan.”
Sementara itu, Pauzi berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama IWK bersetuju menjalankan kerja nyahenap cemar di Pulau Perhentian bagi menangani isu pencemaran yang mungkin berpunca daripada sisa kumbahan di pulau itu.
“IWK juga akan membina tapak pelupusan sesuai, sementara menunggu pembinaan loji rawatan kumbahan berpusat atau kemudahan rawatan enap cemar disediakan.
“Tidak mudah melakukan kerja nyahenap cemar di pulau itu kerana tongkang, bot dan kenderaan nyahenap cemar khas perlu direka untuk disesuaikan dengan demografi pulau itu. Ini akan membabitkan kos tinggi.
“Tetapi, IWK kekal komited dalam memberikan perkhidmatan ini bagi memastikan pencemaran tidak berterusan.”