
Edmund Terence Gomez, yang telah mengarang buku dan kertas kerja mengenai GLC di Malaysia, berkata penting bagi pelantikan sedemikian – walaupun ia berkait politik – dapat dengan mahir mengemudi dalam ekonomi yang bergelora dengan gabungan pengetahuan politik yang tinggi dan pemahaman yang mendalam berhubung pembuatan dasar.
Beliau berkata, ini amat penting memandangkan GLC telah lama berakar dalam sektor korporat, dengan jawatan penting secara tradisinya diagihkan sebagai alat naungan, ganjaran kepada ahli politik dan penyokong mereka.
“Ini menghantar isyarat yang sangat penting kepada sektor swasta dan pelabur, dalam dan luar negara, kerana GLC membentuk komponen besar syarikat senaraian awam,” kata Gomez.
“Jika dilihat 10 syarikat senaraian awam teratas, lapan daripadanya terdiri daripada GLC. Dari segi permodalan pasaran, tujuh GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) menguasai kira-kira 42% Bursa Malaysia.
“Jadi, jika ini akan menjadi bentuk baharu tadbir urus awam, di mana orang yang bertanggungjawab layak dan dilantik secara bebas, dan membuat keputusan demi kepentingan ekonomi, maka ini akan mencetuskan keyakinan pelabur.”
Pada Rabu, Anwar berkata, amalan melantik ahli politik mengetuai GLC akan diteruskan jika mereka mempunyai kelayakan yang sesuai dan rekod prestasi dalam bidang berkaitan.
Keupayaan profesional mereka dan pematuhan peraturan tadbir urus juga akan diambil kira semasa membuat pelantikan tersebut, tambahnya.
Walaupun Gomez bersetuju ini adalah langkah ke hadapan untuk GLC, beliau juga mahu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk memeriksa pelantikan pengerusi, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ahli lembaga pengarah GLC secara telus, dengan pelantikan anggota suruhanjaya itu tertakluk kepada semakan Parlimen.
Beliau mencadangkan bahawa bagi GLC seperti dana kekayaan negara, dana pencen atau GLIC, para pengarah mesti mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang cara perusahaan ini berfungsi dan cara sistem penyampaian awam mereka beroperasi.
Gomez berkata, mereka juga mesti tahu cara bekerja dengan birokrat untuk melaksanakan dasar. Penting juga agar pelantikan itu dibuat berdasarkan merit, bukan tekanan politik, tambahnya.
“Ahli lembaga pengarah mesti memahami peranan institusi mereka dan sistem penyampaian awam mereka kerana (GLC) bukan dalam sektor swasta,” katanya.
“Para pengarah perlu mempunyai kemahiran sosial, pengetahuan dan kebolehan untuk memastikan dasar dilaksanakan seperti yang dirangka. Tidak ramai mempunyai pengetahuan sebegini.”
Seorang lagi ahli ekonomi politik, Firdausi Suffian daripada UiTM Sabah, turut menekankan keperluan untuk individu yang berkebolehan mengemudi GLC, terutamanya apabila ekonomi sedang pulih daripada kesan wabak Covid-19.
Walaupun tahap pendidikan atau kelayakan seseorang telah lama dilihat sebagai kriteria utama untuk pelantikan ke mana-mana jawatan, katanya, GLC kini mesti melihat “lebih daripada itu”.
“Kita perlu melihat kepada kecekapan. Kita perlu individu cekap yang melihat di luar politik dan sebaliknya, memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
“GLC sepatutnya melihat kepentingan ekonomi secara keseluruhan. Tetapi kadangkala, jika anda letak seorang ahli politik dalam jawatan sedemikian, seperti yang dilakukan sebelum ini, sangat sukar bagi mereka untuk memisahkan diri daripada kepentingan politik mereka.”