Hadi salah, Melayu paling ramai mengundi, kata penganalisis

Hadi salah, Melayu paling ramai mengundi, kata penganalisis

Data menunjukkan peratusan keluar mengundi orang Melayu paling tinggi berbanding kaum lain, kata Bridget Welsh.

Menurut data SPR, sebanyak 21,173,638 pengundi berdaftar mengambil bahagian pada PRU15, berbanding 14,940,624 pada PRU14.
PETALING JAYA:
Dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa kadar peratusan keluar mengundi pengundi Melayu rendah berbanding kaum lain tidak benar dan tidak berlandaskan fakta, kata penganalisis politik.

Bridget Welsh dari Universiti Nottingham berkata, data diperolehinya menunjukkan peratusan keluar mengundi orang Melayu paling tinggi berbanding kaum lain.

“Malah, peratusan keluar mengundi yang lebih rendah oleh masyarakat Cina dan etnik bukan Melayu lain menyangkal dakwaan Hadi,” katanya ketika dihubungi FMT.

Hadi sebelum ini mendakwa, 98% orang bukan Islam keluar mengundi pada PRU15 berbanding 60% pengundi Islam, menurut laporan media.

Beliau memuji golongan muda yang keluar mengundi, dan berkata orang bukan Islam “dari seluruh negara dan pelosok dunia yang jauh dikerah” untuk mengundi “bagi mendapatkan kuasa” dengan menyokong DAP dan kumpulannya.

Welsh percaya dakwaan Hadi itu meneruskan naratif kononnya orang Melayu terancam dari segi politik, walhal tidak disokong data. Katanya di Twitter, data menunjukkan peratusan keluar mengundi pengundi Melayu adalah sebanyak 79%, berbanding 78% pengundi India, 69% Cina, dan 59% lain-lain.

Beliau memberitahu FMT, Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai PAS gagal menjadi kerajaan lantaran “serangan” terhadap orang bukan Melayu, selain tidak mempunyai tawaran “untuk semua rakyat” pada PRU lepas.

Welsh turut mengingatkan Hadi bahawa sekalipun peratusan keluar mengundi Melayu lebih tinggi, tidak semua menyokong PN. Malah, ada juga orang Melayu yang tidak keluar mengundi.

“Kira-kira 21% pengundi Melayu dianggarkan tidak keluar mengundi pada PRU lalu dan hanya 54% pengundi Melayu sahaja yang menyokong gabungan itu,” katanya.

Dari segi kecenderungan pula, tidak semua penyokong PN adalah penyokong PAS.

“Ramai yang menyokong Muhyiddin Yassin,” tambah Welsh.

Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 21,173,638 pengundi berdaftar mengambil bahagian pada PRU15, berbanding 14,940,624 pada PRU14.

Pengundi di luar negara hanya 2,741 orang, berbanding 20,905,366 pengundi biasa. Golongan usia 30-39 membentuk peringkat umur terbesar, diikuti rapat usia 21-29.

Selepas undi dikira, PN memperoleh jumlah kerusi kedua terbanyak, iaitu 74, yang mana 52 dimenangi calon PN dan 22 oleh calon yang bertanding atas tiket PAS.

Kedah menyumbang kerusi terbanyak untuk PN, iaitu 14 daripada 15 calon bertanding, diikuti Perak (10 daripada 24), Pahang (7 daripada 14), dan Selangor (6 daripada 22). PN juga membolot semua tiga kerusi di Perlis, manakala PAS menawan semua 14 kerusi di Kelantan dan 8 kerusi di Terengganu.

Hasil PRU bagaimanapun menyaksikan tiada parti memperolehi jumlah kerusi Parlimen minimum untuk membentuk kerajaan.

PN bagaimanapun gagal membentuk kerajaan selepas ia menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong supaya suatu kerajaan perpaduan dibentuk, saranan yang disahut oleh Pakatan Harapan (76 kerusi), Barisan Nasional (30), dan Gabungan Parti Sarawak (23).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.