Segera dekriminalisasi cubaan bunuh diri, kerajaan diberitahu

Segera dekriminalisasi cubaan bunuh diri, kerajaan diberitahu

Tiga wakil rakyat DAP mendesak kerajaan segera membentangkan pindaan Kanun Keseksaan berhubung perkara itu pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Kerajaan sepatutnya melaksanakan moratorium pendakwaan terhadap semua cubaan bunuh diri sementara menunggu pindaan undang-undang dilaksanakan, kata tiga wakil rakyat DAP.
PETALING JAYA:
Tiga wakil rakyat DAP mendesak kerajaan segera membentangkan pindaan Kanun Keseksaan untuk tidak mengklasifikasikan cubaan bunuh diri sebagai jenayah pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, ADUN Subang Jaya Michelle Ng dan ADUN Kampung Tunku Lim Yi Wei, berkata kerajaan mesti menamatkan undang-undang lapuk berkaitan bunuh diri dan memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan secepat mungkin.

“Kami menggesa kerajaan pusat menjadikan perkara ini keutamaan dan sesegera mungkin melakukan pindaan pada sidang Parlimen seterusnya,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Mengikut Seksyen 309, seseorang yang melakukan cubaan bunuh diri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiganya berkata, perlu dilaksanakan moratorium pendakwaan terhadap semua cubaan bunuh diri ketika ini.

Mereka berkata, rang undang-undang boleh dibentangkan dan penambahbaikan dalam undang-undang boleh dikemukakan kemudian.

“Ini kerana pertuduhan cubaan membunuh masih lagi dibawa (ke mahkamah) walaupun kajian bagi menggantikan undang-undang sedia ada sedang berjalan,” katanya.

Yii, Ng dan Lim berkata, sekiranya ada “lacuna” (kelompangan undang-undang) apabila dimansuhkan, kerajaan boleh mengarahkan polis menggunakan kuasa pasukan keselamatan itu mengikut Seksyen 10 Akta Kesihatan Mental dalam kes cubaan membunuh diri bagi pelaku dimasukkan ke hospital psikiatri.

Mereka berkata, pendaftar bunuh diri kebangsaan juga perlu ditubuhkan segera bagi tujuan merumus pendekatan bersasar menangani peningkatan kadar bunuh diri.

Mereka turut menyatakan sejumlah 902 kes cubaan bunuh diri sudah dibawa bagi pendakwaan antara 2018 dan Jun 2021.

Pada Oktober 2021, timbalan menteri kesihatan ketika itu, Aaron Ago Dagang memberitahu Dewan Rakyat, langkah tidak mengklasifikasikan cubaan bunuh diri sebagai jenayah sudah bermula, namun memerlukan beberapa pelarasan terhadap Kanun Keseksaan.

Pada Mac tahun ini, diumumkan cadangan meminda Kanun Keseksaan dan tidak mengklasifikasikan cubaan bunuh diri sebagai jenayah masih dalam kajian oleh Pejabat Peguam Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.