690 ‘bookie’ ditahan sepanjang Piala Dunia

690 ‘bookie’ ditahan sepanjang Piala Dunia

Semua tangkapan membabitkan 'bookie' atau 'punter' disiasat bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Azman Ahmad Sapri (tiga dari kanan) memberikan taklimat kepada media semalam mengenai tangkapan dan rampasan dalam Ops Soga IX di negeri itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan 690 individu kerana disyaki terlibat aktiviti perjudian dan pertaruhan berkaitan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 sepanjang Op Saga IX bermula 19 Nov hingga Rabu lalu.

Setiausaha Polis, Noorsiah Saaduddin, berkata semua tangkapan membabitkan “bookie” atau “punter” dan disiasat bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sepanjang tempoh sama, beliau berkata sebanyak 530 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu 202 kertas siasatan berjaya dituduh dengan 87 telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, manakala 328 kertas siasatan masih dalam tindakan.

Menurutnya, Selangor merekodkan jumlah tertinggi tangkapan iaitu 179 individu diikuti Kuala Lumpur (142), Johor (59), Negeri Sembilan (57), Sarawak (54), Pulau Pinang (43), Sabah (41), Kedah (32), Melaka (27), Pahang (18), Perak (17), Terengganu (11), Perlis (enam) dan Kelantan (empat).

Beliau berkata, hasil rampasan antaranya meliputi nilai had kredit dalam perisian sebanyak RM22.3 juta, wang tunai RM518,563, telefon bimbit (817), kad sim (386 keping), komputer (74) dan komputer riba (47).

“Polis berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat berkaitan perjudian yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline perjudian di talian 016 5773477,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.