
Ahli ekonomi Edmund Terence Gomez berkata, undang-undang seumpama itu harus merangkumi pembentukan suruhanjaya bebas yang akan menyemak pelantikan pengerusi, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ahli lembaga pengarah GLC, serta cara entiti beroperasi.
Pelantikan anggota suruhanjaya ini, katanya, mesti tertakluk kepada semakan Parlimen.
“Apa yang Anwar sudah lakukan, menyingkirkan lantikan politik di GLC, bagus,” katanya kepada FMT.
“(Tetapi) jika ekonomi dalam keadaan tenat, perkara pertama yang kita mahu ubah ialah GLC, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan Syarikat Tujuan Khas kerana merekalah yang menghidupkan dan memacu ekonomi.
“Namun beliau mesti memberikan komitmen untuk mengeluarkan politik daripada GLC.”
Awal minggu ini, dilaporkan bahawa semua lantikan politik di syarikat kerajaan menerima surat yang memaklumkan bahawa perkhidmatan mereka telah ditamatkan.
Gomez, yang mengarang buku dan kertas kerja mengenai GLC di Malaysia, berkata Anwar perlu melantik individu yang berwibawa untuk menerajui GLC dan GLIC, bukannya melantik ahli politik untuk naungan.
“Pada masa lalu, GLC telah digunakan oleh setiap parti pemerintah untuk mengukuhkan kuasa mereka di peringkat akar umbi.
“Berkenaan CEO, lembaga pengarah boleh membuat keputusan dengan cara yang terbuka dan telus,” katanya.
Beliau juga berkata, suruhanjaya yang dicadangkan itu perlu diberi kuasa untuk menyemak semula gaji bos GLC dan GLIC.
Mengenai pelantikan ahli politik dan penjawat awam bersara dalam GLC, Gomez berkata, sebilangan daripada mereka mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengendalikan badan-badan tersebut.
“Saya katakan ini kerana jumlah kepakaran tidak tersedia di luar sana seperti yang difikirkan oleh sesetengah pihak,” katanya.
“Mereka yang berkelayakan lebih suka bekerja di sektor swasta dan di luar negara kerana gaji lebih tinggi.
“Mereka juga tidak tertakluk kepada penelitian apabila menerajui GLC di mana mereka bertanggungjawab kepada kerajaan dan pemegang saham.
“Secara keseluruhannya, Anwar berdepan tugas berat untuk merungkai budaya yang mana beliau juga pernah terlibat ketika bersama Umno. Tetapi beliau terpaksa berbuat demikian untuk kebaikan negara,” katanya.