
Khairuddin mendakwa, terdapat segelintir dalam parti itu cuba melawan keputusan dibuat Mahathir secara konsensus untuk menutup kelemahan mereka dengan menyalahkan orang lain.
Beliau mendakwa mereka menuduhnya, Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya dan Abu Bakar Yahya – pembantu Mahathir – mempengaruhi bekas perdana menteri itu membuat segala keputusan atau pendirian politik yang salah untuk parti.
“Golongan ‘munafik politik’ ini sedang putar-belitkan cerita dan menuduh kalangan yang menyokong kuat wadah perjuangan Mahathir sebagai cuba untuk memutuskan hubungan antara seorang bapa dengan anak sendiri kononnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mempersoalkan bagaimana seorang ahli politik berpengalaman seperti Mahathir boleh terpengaruh dengan begitu mudah, dan berkata kebenaran di sebalik peletakan jawatannya sebagai pengerusi Pejuang akan terbongkar tidak lama lagi.
Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi Pejuang, parti yang diasaskannya pada 2020 selepas meninggalkan Bersatu, Jumaat lalu.
Seorang pemimpin Pejuang yang enggan namanya disiarkan memberitahu FMT bahawa keluarga bekas perdana menteri itu mahu beliau berundur daripada politik. Bagaimanapun, pemimpin itu tidak pasti sebab sebenar beliau meletak jawatan.
Pada Isnin, Khairuddin meletak jawatan sebagai ketua Pejuang Wilayah Persekutuan kerana didakwa hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Mukhriz Mahathir.
Ia berikutan prestasi hambar parti itu dalam pilihan raya umum baru-baru ini, yang menyaksikan veteran seperti Mahathir dan Mukhriz gagal mempertahankan kerusi Parlimen serta hilang deposit.