Norazam keluar hospital, gegas semula ke lokasi tanah runtuh

Norazam keluar hospital, gegas semula ke lokasi tanah runtuh

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis mahu memberi semangat kepada semua anggota dan pegawainya yang bertungkus-lumus mencari baki mangsa yang belum ditemui.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis dikejarkan ke Hospital Selayang pada Isnin akibat strok ringan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis bergegas ke lokasi tanah runtuh di Batang Kali, sebaik dibenarkan keluar hospital hari ini.

Norazam berkata, beliau hadir kerana mahu memberi semangat kepada semua anggota dan pegawainya yang bertungkus lumus di lokasi mencari baki tiga mangsa yang belum ditemui.

“Doktor kesan saya mengalami ‘transient ischemic attacks’ (serangan angin ahmar ringan). Selepas ini perlu jalani rawatan susulan dan dibenarkan keluar (hospital) hari ini.

“Saya dalam keadaan baik, datang ke sini sebab masih ada (mangsa) belum jumpa dan saya nak jumpa pegawai untuk bagi mereka semangat mencari baki mangsa,” katanya menerusi satu video dimuat naik di laman JBPM.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih atas sokongan diberikan semua pihak kepada semua petugas operasi SAR khususnya pasukan bomba.

Menurut JBPM dalam kenyataan, Norazam akan kembali bertugas di kediaman secara “light duty” bagi memantau gerak kerja operasi mencari dan menyelamat (SAR) tanah runtuh di Batang Kali menerusi talian telefon.

Isnin lalu, Norazam dikejarkan ke Hospital Selayang akibat strok ringan berpunca kepenatan dan kurang tidur.

Norazam bekerja tanpa henti sejak tiga hari di kawasan tanah runtuh di Batang Kali, kata seorang jurucakap JBPM.

Setakat hari ini, jumlah mangsa yang terlibat dalam tragedi itu disemak semula dan jumlah rasmi adalah 92 bukannya 94 seperti dilaporkan sebelum ini.

Pada pagi ini, pasukan mencari dan menyelamat menemui empat lagi mayat mangsa menjadikan jumlah kematian tragedi tanah runtuh itu kepada 30 orang. Seramai 61 mangsa diselamatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.