
Salah seorang penduduk, Muzipah Che Muda, 54, mendakwa dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menggunakan air banjir untuk membuat susu kepada anak kecil.
Menurutnya, ia berikutan kawasan penempatan itu kini tidak dapat dilalui akibat ditenggelami air.
Katanya, walaupun tahu tindakan itu tidak begitu baik namun dia buntu kerana ramai kanak-kanak merengek kehausan begitu juga orang dewasa yang tidak dapat minum.
“Malah, air ini juga kami gunakan untuk memasak secara bergotong-royong. Besar harapan kami supaya ada pihak yang masuk untuk menghantar bantuan air bersih buat kami di sini.
“Kami tahu kawasan penempatan ini agak sukar diakses, oleh itu kami mencari ikhtiar lain terlebih dahulu dengan hanya tawakal sahaja semoga air yang diminum tidak memudaratkan.
“Semua mangsa berkumpul di rumah milik salah seorang penduduk yang tidak dimasuki air tetapi halamannya digenangi banjir separas 0.5 meter,” lapor Berita Harian.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd Yatin Mat Yaacob, 46, berkata kesemua mangsa terpaksa tidur berhimpit, manakala sesetengah kumpulan lelaki tidur dalam kereta kerana tidak cukup ruang.
“Kami tidak ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana sudah terlalu ramai dan penuh. Tambahan pula, hanya rumah ini yang tidak dimasuki air di sini.
“Ada antara mangsa yang kediaman mereka hanya tinggal bumbung sahaja, namun kami reda dengan ujian ini dan bersyukur kerana masih ada tempat berteduh,” katanya.
Katanya, mereka juga mengambil inisiatif menggunakan penjana elektrik bagi mendapatkan bekalan terutama untuk mengecas telefon bimbit kerana bekalan itu sudah ditutup sejak banjir melanda.