
Beliau berkata Pakej Perpaduan hasil kerjasama lima syarikat telekomunikasi utama seperti Celcom-Digi, Maxis Dan YTL itu khusus untuk golongan B40, belia, dan warga emas.
“Pakej Perpaduan ini merupakan pakej prabayar internet mudah alih yang ditawarkan pada harga RM30 dengan data 30GB untuk tempoh 6 bulan,
“Ini bermakna dengan hanya RM5 sebulan golongan tersebut boleh menikmati kemudahan internet dan telekomunikasi dengan kelajuan 3Mbps,” kata Fahmi dalam satu sidang media di Kementerian Komunikasi dan Digital.
Menurutnya, data 30GB yang ditawarkan dapat menampung penggunaan perkhidmatan panggilan dan perbualan, aplikasi dalam talian untuk aktiviti harian seperti pembelian, perbankan internet dan lain-lain lagi.
Secara keseluruhan, Fahmi berkata pakej ini menawarkan penjimatan RM5 sebulan berbanding pakej semasa dengan tempoh sah yang dipanjangkan sehingga 180 hari.
“Kelajuan pakej juga meningkat dua kali ganda daripada 1mbps ke 3mbps.
“Bermaksud separuh harga, tiga kali ganda kelajuan,” kata Fahmi.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa pakej internet mudah alih tersebut merupakan satu pakej asas namun terpulang kepada penyedia-penyedia perkhidmatan untuk menawarkan nilai tambah kepada pakej tersebut.
Disamping itu, beliau juga turut memaklumkan bahawa pihaknya akan membawa berita baik untuk pengguna internet jalur lebar dan pengumuman tersebut akan dibuat dalam masa terdekat.
Tambah beliau, keutamaan kementeriannya bukan sahaja untuk meringankan kos sara hidup rakyat dengan mengurangkan harga bagi pakej-pakej telekomunikasi dan jalur lebar namun mutu perkhidmatan juga menjadi keutamaannya.
“Tiada guna sekiranya perkhidmatan yang ditawarkan adalah lebih murah dan lebih laju sekiranya tiada jaringan,” katanya.