Isu permit tapak khemah luar bidang kuasa kami, kata Jabatan Pertanian

Isu permit tapak khemah luar bidang kuasa kami, kata Jabatan Pertanian

Ia tiada autoriti untuk memberi permit, lesen atau khidmat nasihat kepada mana-mana pengusaha yang menyediakan tapak perkhemahan.

Tujuh mangsa masih hilang selepas kejadian tanah runtuh berhampiran Batang Kali itu.
PETALING JAYA:
Jabatan Pertanian (DOA) tidak pernah memberi ulasan atau berbincang mengenai permit tapak perkhemahan dengan pengusaha Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor, yang dilanda tanah runtuh pada Jumaat lepas.

Jabatan itu berkata ini kerana perkara itu di luar bidang kuasanya, menurut laporan Bernama.

Jabatan itu menegaskan peranannya hanyalah memberi khidmat nasihat berkaitan proses dan kaedah untuk mendapatkan pensijilan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) serta lawatan berkaitan proses pensijilan tersebut di Father’s Organic Farm.

“DOA tidak mempunyai autoriti untuk memberi permit, lesen atau khidmat nasihat kepada mana-mana pengusaha yang menyediakan tapak perkhemahan,” menurut kenyataannya.

Jabatan itu merujuk laporan disiarkan portal berita Mkini dan The Vibes semalam bahawa Father’s Organic Farm tidak dapat memohon lesen tapak perkhemahan kerana permit seumpama itu tidak wujud. Ia turut memetik Jabatan Pertanian antara agensi kerajaan yang memaklumkan perkara itu.

Bagaimanapun, jabatan itu memaklumkan dakwaan berkenaan tidak benar.

Ia sebaliknya memaklumkan fungsinya memberi khidmat pengembangan pertanian dalam pengeluaran bahan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan.

Jabatan itu turut menguatkuasakan akta yang menjaga keselamatan, kualiti dan melindungi industri pertanian negara dari ancaman perosak dan penyakit serta memudahkan perdagangan antarabangsa.

Tragedi tanah runtuh pada jam 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu sehingga kini menyaksikan 61 mangsa selamat, 26 terkorban dan tujuh masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.