Beberapa balai polis di Kelantan, Terengganu dinaiki air

Beberapa balai polis di Kelantan, Terengganu dinaiki air

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya mengambil langkah awal memastikan dokumen penting dan peralatan mudah terjejas dialihkan ke tempat selamat.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata ada balai polis di Terengganu dan Kelantan dinaiki air susulan banjir di Pantai Timur. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Beberapa balai polis di Terengganu dan Kelantan turut terjejas setelah dinaiki air susulan banjir melanda Pantai Timur, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Ditemui pemberita selepas menghadiri pelancaran misi bantuan ke Pantai Timur peringkat Kementerian Dalam Negeri oleh menterinya, Saifuddin Nasution Ismail di sini, Acryl Sani berkata, bilangan balai polis yang terjejas di dua negeri itu akan dikenal pasti.

“Namun, anggota polis telah mengambil langkah awal untuk memastikan dokumen penting serta peralatan yang mudah terjejas akibat air dialihkan ke tempat yang selamat,” katanya.

Ditanya sama ada anggota di Ibu pejabat polis Bukit Aman akan digerakkan ke Pantai Timur, beliau berkata, polis telah mengaturkan bantuan tenaga manusia ke tempat-tempat yang dipercayai dilanda banjir.

“Setakat ini, kita masih mampu untuk memberi bantuan kepada pasukan keselamatan lain dalam usaha memindahkan mangsa ke pusat penempatan sementara (PPS) dan memastikan pergerakan tenaga bantuan dijalankan dengan lancar,” katanya.

Merujuk kepada kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor pula, Acryl Sani berkata, polis sedang dalam proses memadankan data mangsa yang masih hilang dalam tragedi itu dengan laporan polis yang dibuat ahli keluarga dan waris.

Beliau berkata, polis yakin akan ada waris yang tampil ke balai polis untuk melaporkan terdapat ahli keluarga tidak dapat dikesan dan dipercayai hilang.

“Kita masih menunggu, dan lepas ini akan padankan dan maklumkan angka sebenar yang kita percaya masih lagi hilang,” katanya.

Insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berkenaan pada kira-kira 2.42 pagi, Jumaat lepas, kini telah mengorbankan 25 nyawa dengan lapan masih hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.