
Presiden Muda itu berkata beliau dimaklumkan usul berkenaan ditolak atas alasan “faktor masa”.
Justeru, beliau meminta ia dibahaskan di kamar khas dengan penyertaan menteri yang berkait rapat mengenai isu itu.
“Baru lima minit saya dapat balas jawapan daripada Yang Dipertua bahawa usul ini ditolak kerana faktor masa.
“Kerana ini isu nasional, mendesak dan penting walaupun tidak dapat dibahaskan di Parlimen, speaker pada waktu tersebut menggunakan kuasa 16 (i) untuk dibahaskan sekurang-kurangnya di kamar khas dengan penyertaan menteri yang berkait rapat.
“Ini isu penting, isu nasional dan melibatkan lebih 50,000 keluarga yang teruk terkesan dengan banjir,” katanya merujuk usul tergempar bencana banjir dibawa oleh Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas ketika menjadi ketua pembangkang.
“Saya minta ia sekurang-kurangnya dibahas di kamar khas.”
Speaker Johari Abdul kemudian menjelaskan tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan kerajaan sudah mengambil tindakan wajar dengan mengumumkan peruntukan besar yang akan disalurkan segera bagi membantu mangsa banjir.
“Kita dimaklumkan oleh menteri kewangan (Anwar) tadi bahawa tindakan segera telah, sedang dan akan diambil dan peruntukan besar telah pun disediakan untuk bantu mangsa banjir.
“Untuk itu saya ingat benda ini agak selari dengan apa yang difikir oleh Yang Berhormat (Syed Saddiq),” katanya.
Semalam, Syed Saddiq memaklumkan mengemukakan usul itu kepada speaker Dewan Rakyat agar langkah mitigasi banjir dapat dibincangkan segera bagi membendung risiko dan impak, khususnya di negeri Pantai Timur.
Beliau menegaskan isu banjir itu adalah perkara mengenai kepentingan orang ramai yang perlu ditangani segera.