
Armizan berkata, perkara itu selaras pengumuman dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini, bagi menambah jumlah peruntukan sedia ada iaitu RM400 juta melibatkan mangsa banjir.
“Kerajaan akan menambah peruntukan itu sebab kita melihat terdapatnya keperluan tambahan bukan hanya untuk operasi banjir tetapi juga bantuan kepada mangsa banjir,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, peruntukan tersebut akan diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama kerajaan negeri yang terkesan dengan bencana itu.
Antara bantuan akan diberikan kepada mangsa banjir adalah wang ihsan RM1,000 untuk satu keluarga dan bantuan kematian RM10,000 bagi setiap individu.
Selain itu, beliau turut mengumumkan bantuan barangan rosak di rumah terkesan sebanyak RM2,500 serta bantuan pembaikan kecil untuk rumah yang rosak sebanyak RM5,000.
Pada masa sama, Armizan berkata bantuan itu tidak termasuk bantuan bina baru rumah dan bantuan pembaikan rumah yang diseleraskan antaranya melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.
Sebelum ini, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan bajet operasi sementara bernilai RM107.7 bilion.
Bajet mini dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan itu diluluskan melalui undian suara selepas bacaan kedua dan ketiga.
Perdana menteri berkata, bajet mini juga penting untuk membantu Nadma menangani banjir dan membantu mangsa.
“Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan sumber kewangan tambahan sekiranya perlu bagi memastikan kelancaran pengurusan banjir,” kata Anwar.